suria

Haziq Dinobat Atlet Remaja Terbaik SAM-100 PLUS 2012

KUALA LUMPUR: Pemanah muda negara, Haziq Kamaruddin, dipilih untuk menerima anugerah Atlet Remaja Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 PLUS 2012 yang akan berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selasa ini.

Perkara itu diumumkan penganjur dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Haziq, 19, pernah beraksi di Sukan Olimpik London 2012 dalam acara recurve berpasukan dan individu lelaki, namun gagal membawa pulang sebarang pingat buat kontinjen negara pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Pemanah berasal dari Johor itu berkata kejayaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik sudah boleh dianggap satu kemenangan buatnya kerana peserta yang bertanding pada temasya tersebut merupakan yang terbaik dari seluruh dunia.

Pada Sukan Olimpik London, Ogos tahun lepas, Haziq bersama-sama Cheng Chu Sian dan Khairul Anuar Mohamad beraksi dalam acara recurve berpasukan dan individu lelaki.

Namun, mereka gagal menempatkan diri dalam kedudukan terbaik selepas tersingkir pada peringkat awal.

Mereka layak secara merit ke temasya tersebut selepas meraih tempat kesembilan pada Kejohanan Memanah Dunia di Torino, Itali pada Julai, 2011.

Haziq berkata kegagalan di London itu tidak pernah mematahkan semangatnya, sebaliknya menjadi pendorong untuk terus meningkatkan lagi prestasi.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berhasrat untuk merebut tempat dalam kontinjen negara untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Haziq yang mula aktif dalam sukan memanah pada usia 16 tahun pernah meraih satu pingat emas menerusi acara berpasukan bersama-sama Chu Sian dan Khairul Anuar pada Sukan SEA 2011 di Indonesia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain