suria

Sime Darby Kekal Kedudukan Pendahulu Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Sime Darby FC terus mengekalkan kedudukan tipis di persada Liga Perdana selepas menumpaskan Kuala Lumpur 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, Isnin.

Kemenangan kelima dalam tujuh perlawanan setakat ini membolehkan kelab wakil Lembah Klang itu menghuni tangga teratas dengan kelebihan jaringan dengan Sarawak turut berkongsi 17 mata.

Sarawak juga turut mengekalkan kedudukan kedua liga selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas wakil kelab Negeri Sembilan, Betaria FC di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain import dari Cameroon, Guy Bwele pada minit ke-83.

Johor pula merampas tangga ketiga liga daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menumpaskan pasukan berkenaan 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Bagaimanapun, Johor dikejutkan dengan gol pendahuluan oleh Khairul Amar Kasim seawal minit kelima sebelum mereka membalas dengan dua gol penalti yang disempurnakan oleh penyerang import mereka dari Argentina, Juan Muriel Orlando pada minit ke-36 dan 78.

Kedah turut memungut tiga mata penuh selepas mengalahkan kelab SPA Putrajaya dengan kemenangan 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam.

Perlis hanya mampu mengutip satu mata selepas terikat 1-1 ketika bertemu pasukan kelab UiTM di Stadium Utama Negeri di Kangar.

Gol skuad Singa Utara dijaringkan oleh Mohd Badrul Hisani Abdul Rahman pada minit ke-43 sebelum Mohamad Hakim Zainal menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-63.

Sementara itu, Sabah terus dirundung malang selepas kalah 2-1 kepada wakil kelab, Pos Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Mohd Saufi Mohd Ibrahim muncul wira pasukan pelawat dengan dua gol pada minit kelima dan 65 manakala Alto Linus menjaringkan gol tunggal untuk skuad 'Sabahawks' pada minit kesembilan. - BERNAMA

Artikel Lain