suria

Carragher Gantung But Hujung Musim Ini

Jamie Carragher
Jamie Carragher
Jamie Carragher

BINTANG Liverpool, Jamie Carragher pada Khamis berkata dia akan menamatkan karier selaku pemain bola sepak pada penghujung musim ini selepas melakukan 700 penampilan bersama kelab itu.

Pemain berusia 35 tahun itu tidak lagi diturunkan dalam skuad utama malah kelibatnya sudah jarang dilihat pada aksi Liga Perdana Inggeris musim ini.

"Musim ini adalah musim terakhir saya bersama Liverpool dan sebagai pemain bola sepak profesional.

"Saya mengumumkan perkara ini sekarang kerana tidak mahu pengurus atau kelab menentukan masa depan saya kelak.

"Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya sehingga hujung musim ini...seperti yang telah dilakukan sepanjang karier saya di Anfield selama ini ," katanya dalam laman web kelab itu (www.liverpoolfc.com).

Carragher memainkan peranan penting ketika membantu Liverpool menewaskan AC Milan pada aksi final Liga Juara-Juara 2005.

Pada aksi musim ini, Carragher banyak menghabiskan masa di bangku simpanan manakala Martin Skrtel dan Daniel Agger menjadi pilihan utama pengurus Brendan Rodgers untuk memperkukuh benteng pertahanan The Reds.

Namun, Carragher diturunkan semula baru-baru ini dan mempamerkan persembahan menakjubkan ketika Liverpool terikat seri dengan Arsenal dan Manchester City.

Carragher melakukan 38 penampilan bersama England dan dipanggil semula mewakili skuad Three Lions pada aksi Piala Dunia 2010 selepas mengumumkan persaraannya pada 2007.

Artikel Lain