suria

F1 Malaysia Sasar Kehadiran Lebih 2,000 Penonton Thailand

BANGKOK: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyasarkan kehadiran lebih 2,000 penonton Thai pada Grand Prix Formula 1 Petronas Malaysia 2013 Mac ini.

Ketua Strategi Komersil dan Pemasaran SIC Richard Lee pada Khamis berkata mereka berharap antara 2,000 dan 2,500 penonton Thai akan menyaksikan perlumbaan tiga hari itu bermula 22 Mac.

"Kami gembira mendapati jumlah penonton Thai semakin meningkat saban tahun," katanya kepada Bernama semasa kempen promosi perlumbaan itu di sini.

Beliau berkata SIC bekerjasama rapat dengan ejen pelancongan tempatan dalam menawarkan pakej acara itu untuk menjadikannya lebih menarik dan berbaloi.

Konsert Gun N Roses, diskaun beli-belah dan penginapan adalah antara tarikan yang ditawarkan.

"Peminat juga boleh menikmati diskaun di Taman Burung KL, Asian Water Sports Village, Red Box, Cathay Cineplex, Aquaria KLCC dan banyak lagi," katanya.

Lee berkata peminat juga boleh menyertai pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti sukan drift, rali dan go kart.

Pertama kali dianjurkan pada 1999, Malaysia akan menjadi tuan rumah pusingan kedua perlumbaan 20 pusingan musim ini.

Pengarah Tourism Malaysia berpejabat di Thailand Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata peminat juga boleh mengunjungi tempat menarik di Malaysia termasuk tarikan terbaharu seperti Legoland. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain