suria

Zulfahmi Selesai Jalani Latihan Bersama Pasukan Baru Di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin selesai menjalani latihan selama tiga hari bersama pasukan baharunya, Red Bull KTM Ajo, di Litar Almeria, Sepanyol pada Jumaat.

"Ini merupakan tiga hari yang sangat baik bagi kami. Kami mulakan kerja dengan motosikal baru dan belajar banyak benda baru. Kami juga melihat apa yang terbaik. Dalam beberapa kes, kami masih perlu mencuba banyak perkara dan saya juga perlu bekerja lebih keras untuk memperbaiki pemanduan saya.

"Saya fikir ini sangat positif apabila kami datang sini dan menjalani latihan beberapa kali di litar. Saya tidak sabar untuk beraksi di Valencia pada minggu depan," kata pelumba berusia 21 tahun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukannya.

Pasukan Red Bull KTM Ajo memulakan latihan pra musimnya minggu ini di Almeria sebelum sesi latihan rasmi Moto3 di Litar Ricardo Tormo, Valencia dari 12 hingga 14 Februari.

Selain Muhammad Zulfahmi, pelumba lain yang dipilih menyertai pasukan itu untuk kempen 2013 ialah Luis Salom dari Sepanyol dan Arthur Sissis dari Australia. -BERNAMA

Artikel Lain