suria

Yunus Alif Sedia Tabur Bakti Jika Ada Tawaran

KUALA TERENGGANU: Bekas jurulatih pasukan bola sepak berstatus kelab, T-Team Yunus Alif belum mempunyai tawaran untuk melatih mana-mana pasukan Liga Malaysia tahun depan.

Ketika ditemui Bernama, Yunus, 54, berkata bagaimanapun tidak akan menolak dan sedia menimbangkan mana-mana permohonan sekiranya ada pasukan yang berminat menggunakan khidmatnya.

"Buat masa ini saya ingin berehat bersama keluarga sambil bermain golf dengan rakan-rakan di Kuantan," katanya.

Anak jati kelahiran Kampung Gong Kapas di sini telah melatih pasukan T-Team bagi menghadapi saingan Liga Super selama dua tahun mulai 2011.

Dalam tempoh itu, beliau telah berjaya membawa pasukan berstatus kelab itu melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2011 dan menghuni tangga ke sembilan Liga Super bagi musim yang sama.

Bagaimanapun, prestasi pasukan itu merosot musim ini apabila mereka kecundang di peringkat kumpulan Piala Malaysia dan di tempat kelapan Liga Super.

Untuk rekod, Yunus mula meceburkan diri dalam lapangan kejurulatihan profesional bersama pasukan Liga Perdana Proton FC 2009 dan tahun berikutnya melatih pasukan Perlis.

Beliau juga pernah membimbing dan melatih pasukan Pahang dari tahun 1992-1999 sebelum menabur bakti kepada pasukan negeri Terengganu tahun 2000 dan berjaya menjadi juara Piala FA pada tahun tersebut. -BERNAMA

TTeam, Yunus Alif, Liga Malaysia

Artikel Lain