suria

Bekas Pemain Lazio Simone Del Nero Kini Sah Sertai Johor

JOHOR BAHARU: Bekas pemain kelab Lazio FC di Liga Serie A, Itali, Simone Del Nero pada Jumaat mengesahkan penyertaannya dalam pasukan Johor bagi menghadapi kempen Liga Malaysia musim depan.

Pemain berusia 31, berasal dari Carrara, Massa Carrara, Itali, itu akan mengikat kontrak selama setahun dengan pilihan setahun lagi bersama Johor bagi melengkapkan kuota pemain import pasukan tersebut.

Del Nero, yang pernah dipinjamkan ke AC Cesena tidak menyertai mana-mana kelab sejak Julai lalu, sudah bersedia membantu pasukan Johor menduduki tempat terbaik dalam saingan Liga M.

Mengalami beberapa siri kecederaan otot tahun lalu, pemain itu berkata beliau telah berlatih bersungguh-sungguh sebelum menerima tawaran bermain untuk Johor.

"Saya berlatih bersungguh-sungguh sementara menunggu tawaran dari mana-mana kelab. Ada beberapa tawaran diterima dari kelab Serie A tetapi daripada Johor adalah lebih baik, jadi saya bersetuju menerima," katanya pada sidang media Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) di sini. Ditanya mengenai bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Daniel Guiza yang turut menyertai Johor, Del Nero berkata beliau tidak mengenali pemain itu secara peribadi, namun bersedia berganding dengannya dan pemain ternama tempatan lain bagi mencipta kejayaan untuk pasukan.

Mengenai standard bola sepak di Malaysia, beliau berkata ia sedang meningkat dan usaha perlu ditingkatkan bagi menaikkan mutu permainan melalui pengambilan pemain luar.

Guiza yang sebelum ini menerima tawaran bermain dengan pasukan Real Zaragoza dan Real Mallorca yang kini bersaing di Liga Sepanyol telah dipinjamkan untuk satu musim daripada pasukan Getafe.

Menurut Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Del Nero akan diletakkan bermain di barisan tengah.

"Kita memang mencari seorang pemain bahagian tengah dan inilah yang terbaik sekali untuk melengkapkan pasukan Johor atas nasihat ketua jurulatih Fandi Ahmad," titah baginda yang enggan memberitahu nilai kontrak Del Nero.

Dalam pada itu, baginda mengesahkan Johor telah membalas surat tawaran yang dihantar oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berkaitan perpindahan Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali dengan nama Mat Yo.

Tunku Ismail bertitah, surat tawaran dari KAFA lebih terarah kepada kontrak pemain itu.

Keputusan mengenai perkara itu akan dibuat pada mesyuarat eksekutif PBNJ Isnin ini dan Johor akan mengikut peraturan perpindahan pemain yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan semua proses dibuat secara profesional.

Diminta mengulas mengenai kos RM6 juta bagi perpindahan Mat Yo, Tunku Ismail bertitah baginda ada terbaca laporan akhbar mengenai nilai berkenaan namun enggan memanjangkan cerita.

"Saya rasa nilai dia tidak sebanyak itu, tetapi kalau ada pihak yang cuba ambil kesempatan memang akan minta macam-macam," titah baginda.

Sambil menyifatkan isu perpindahan itu sebagai bukan isu besar, Tunku Ismail bertitah Johor akan mencapai persetujuan sebaiknya dengan KAFA.

"Bagi saya, jika pemain itu sudah tidak ada hati bermain dengan pasukannya, baik lepaskan sahaja. Kalau saya ada pemain, saya mahu pemain beri tumpuan 100 peratus untuk pasukan dan jika dia seperti tidak mahu bermain, baik dilepaskan," titah baginda. - BERNAMA

Artikel Lain