suria

Kunalan Sah Sertai Selangor Untuk Saingan Liga Super Musim Depan

KUALA LUMPUR: Pemain sayap pasukan Negeri Sembilan, S. Kunalan mengesahkan bahawa beliau akan menyarung jersi pasukan Selangor untuk saingan Liga Super musim depan.

Anak jati Semenyih berusia 26 tahun itu berkata penghijrahan beliau ke skuad Merah Kuning musim depan adalah bagi mencari angin baharu setelah enam tahun menabur bakti bersama pasukan Negeri Sembilan.

"Kontrak saya bersama Negeri Sembilan akan tamat penghujung tahun ini malahan saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada majikan saya, Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

"Mereka menghormati keputusan saya memandangkan sudah lama saya berkhidmat dengan mereka selaku pemain skuad Piala Presiden sejak 2006 sebelum diserapkan ke dalam skuad utama mereka pada awal 2008," katanya kepada Bernama, Jumaat.

Beberapa akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Kunalan merupakan antara beberapa pemain utama skuad Rusa yang dikaitkan untuk berhijrah ke pasukan luar termasuk kapten pasukan Muhd Shukor Adan yang dikatakan berminat menyarung jersi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk saingan Liga Super musim depan.

Pemain bertubuh kecil yang lincah di posisi sayap itu berkata beliau akan menandatangi kontrak bersama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dalam masa terdekat.

Antara pencapaian terbaik yang diraih oleh beliau sepanjang enam tahun bersama skuad Rusa ialah membantu pasukan itu muncul juara Piala Malaysia pada 2009 dan 2011 selain menjulang Piala FA pada 2010. - BERNAMA

Artikel Lain