suria

Bola Sepak: Jacob Tetap Yakin Kemampuan Pasukan Wanita

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih bola sepak wanita kebangsaan, Jacob Joseph tetap yakin dengan kemampuan pasukannya biarpun tewas pada Kejohanan Bolasepak Wanita Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bulan lalu di Vietnam.

Skuad kebangsaan wanita yang membuat penampilan sulung selepas digantung daripada sebarang aksi peringkat antarabangsa hampir dua tahun, kembali mempamerkan semangat juang dan jurang kekalahan yang dipamerkan ketika menentang Thailand amat berbeza.

"Saya masih yakin dengan pasukan wanita mampu bersaing dengan pasukan lain dan ia memerlukan sedikit masa.

"Ketika di Vietnam baru-baru ini, kami tewas 0-4 kepada Thailand berbanding sebelum ini (8-1), manakala aksi kedua dengan Laos hanya tewas tipis 2-3.

"Nasib tidak menyebelahi pasukan selepas Laos mendapat sepakan penalti di minit-minit terakhir perlawanan.

"Bagaimanapun, saya tetap berbangga dengan mereka, malah prestasi setiap pemain juga dilihat ada peningkatan positif," katanya kepada mStar Online.

Jacob berkata, perlawanan di Vietnam itu dianggap sebagai landasan awal untuk skuad negara kembali beraksi dan dari situlah dia dapat melihat apa sahaja kekurangan yang ada.

"Selepas perlawanan baru-baru ini kami tetap meneruskan latihan dan akan turut mengadakan perlawanan persahabatan atau jemputan empat penjuru.

"Kemungkinan juga akan bertemu dengan Qatar pada November ini dan masih menunggu beberapa perlawanan lain.

"Saya percaya dengan adanya banyak perlawanan persahabatan, ia mampu membantu semua pemain ke tahap yang lebih baik," jelas jurulatih kelahiran Melaka ini.

Menurut Jacob, dia juga akan ke Sabah dan Sarawak untuk mencari pemain-pemain baru bagi menambah jumlah pemain yang sedia ada sekarang.

"Saya hanya ada 20 pemain sahaja setakat ini, dan akan menambah sepuluh lagi pemain ke dalam skuad.

"Sabah dan Sarawak menjadi pilihan kerana di sana ramai pemain yang berbakat dan minat kepada bola padang.

"Berbanding di sini (semenanjung), saya perhatikan ramai pemain wanita lebih berminat kepada acara futsal," katanya.

Selain itu, Jacob berkata, segala latihan atau persiapan yang dilakukan ini adalah hanya satu tujuan, iaitu untuk kembali beraksi dengan baik pada Sukan Sea tahun depan.

"Saya mahu melakukan kejutan di Sukan Sea nanti dan jauh di sudut hati saya yakin mereka mampu melakukannya," katanya.

Sebelum ini skuad wanita negara dilarang beraksi di peringkat antarabangsa selepas mempamerkan aksi buruk pada Sukan Sea 2009 di Laos.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain