suria

Bajet 2013 Suntik Semangat Atlet Buru Pingat Emas Olimpik 2016 - Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM50 juta bagi persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janiero, Brazil, menyuntik semangat atlet untuk memburu pingat emas pertama negara pada temasya sukan itu, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, Belanjawan 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat adalah di luar jangkaan dan antara peruntukan terbanyak yang pernah diperolehi.

"Ini adalah peruntukan terbanyak yang kita perolehi bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2016. Ternyata ia menunjukkan betapa serius Perdana Menteri kita kepada sukan negara.

"Beliau (Perdana Menteri) faham sukan bukan sekadar pingat semata-mata tetapi ia berkaitan dengan soal melonjakkan imej, moral, menyatupadukan rakyat dan memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk terlibat dalam sukan," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.

Di bawah program 'Road to London' sebanyak RM20 juta diperuntukkan namun Malaysia hanya memperoleh satu pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei dari acara badminton dan satu pingat gangsa melalui Pandelela Rinong dalam acara terjun 10m platform.

Mengulas peruntukan RM80 juta yang diberikan untuk pembinaan velodrom tertutup di Seremban, Negeri Sembilan dan akademi badminton di Bukit Kiara di sini, Ahmad Shabery berkata, ia adalah hasil kejayaan atlet di temasya Sukan Olimpik London, Ogos lepas.

"Hasil dan kejayaan atlet Olimpik baru-baru ini telah mendorong kepada pembinaan sebuah velodrom yang baru, ini juga telah meletakkan Malaysia berada di atas sekali di peringkat rantau Asia Tenggara dalam sukan berbasikal trek.

Sebanyak RM15 juta juga diperuntukan bagi mempersiapkan atlet negara ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013 di Myanmar, Sukan Para Asean 2013 (Myanmar), Sukan Komanwel 2014 di Glassgow, Scotland and Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan. - BERNAMA

Artikel Lain