suria

Zulfahmi Berazam Tambah Koleksi Mata Pada Lima Perlumbaan Terakhor Moto3

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin berazam untuk menambah koleksi mata dalam lima perlumbaan terakhir sebelum berakhirnya cabaran beliau dalam kejohanan MotoGP musim ini.

Pelumba kelahiran Banting, Selangor itu bakal berdepan dengan cabaran getir menjelang Grand Prix Aragon, Sepanyol hujung minggu ini selepas beliau memperoleh kedudukan ke-11 pada perlumbaan sebelumnya di Misano, Itali.

Zulfahmi berkata, litar Aragon merupakan satu daripada litar pilihan beliau di dalam perlumbaan MotoGP itu kerana ia mampu mencabar kebolehannya untuk berlumba di setiap selekoh yang tajam.

"Saya menganggap litar Aragon merupakan antara litar pilihan saya kerana ia menguji kecekapan tunggangan saya di setiap selekoh. Malah saya perlu lebih fokus untuk terus memacu jentera saya di setiap selekoh tersebut,” katanya dalam kenyataan, Khamis.

Dengan berpeluang berlatih di Misano selama tujuh hari selepas perlumbaan di litar itu, pelumba itu berkata beliau akan cuba untuk memberikan tumpuan yang lebih jitu pada perlumbaan hujung minggu ini.

"Tumpuan saya kini lebih terarah kepada perlumbaan di Aragon dan saya telah meletakkan harapan yang tinggi untuk mengutip mata lebih baik berbanding perlumbaan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan penuh kepada penunggang muda itu untuk terus melakar nama di arena MotoGP.

"Tanggungjawab yang digalas oleh Zulfahmi adalah besar kerana beliau membawa bersama harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat beliau berada di kedudukan teratas. Jadi, untuk mencapai misi tersebut beliau perlu sentiasa fokus dan bersedia pada setiap perlumbaan," katanya.

Zulfahmi kini berkongsi tempat ketujuh keseluruhan dalam kategori Moto3 dengan pungutan 81 mata bersama penunggang pasukan Caretta Technology’s, Alexis Masbou dari Perancis.

Tempat Masbou akan digantikan dengan pelumba kelahiran British, John McPhee pada GP Aragon apabila beliau cedera selepas berdepan dengan insiden kemalangan pada MotoGP Republik Czech yang berlangsung di litar Brno, bulan lepas.

Danny Kent dari pasukan Red Bull KTM Ajo kini berada di kedudukan tempat kelapan, hanya kekurangan 11 mata di belakang Zulfahmi dan ini merupakan satu daripada cabaran buat beliau untuk menjarakkan diri serta mengutip lebih banyak mata.

Zulfahmi perlu menghadapi satu lagi perlumbaan iaitu di Grand Prix Jepun pada 14 Oktober sebelum pulang ke Malaysia bagi menghadapi Grand Prix Malaysia yang dijadualkan berlangsung dari 19-21 Oktober ini. - BERNAMA

Artikel Lain