suria

Zul Amirul Mara Ke Peringkat Akhir Acara 50 Meter Kuak Lentang

LONDON: Perenang senior Zul Amirul Sidi Abdullah beraksi cemerlang untuk layak ke peringkat akhir acara 50m kuak lentang lelaki S5 (polio) pada Sukan Paralimpik London 2012 di sini, pada Khamis.

Dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Olympic Park, Zul Amirul berjaya menamatkan saringan kedua di tempat ketiga dengan catatan masa 43.00 saat.

Saringan itu dimenangi He Jungquan dari China, yang juga pemegang rekod paralimpik dunia dengan masa 37.02s.

Peringkat akhir acara berkenaan akan berlangsung pukul 7.59 malam pada Khamis (2.59 pagi waktu Malaysia).

Pada temasya di Beijing, China empat tahun lepas, Zul Amirul turut layak ke peringkat akhir namun gagal meraih sebarang pingat.

Seorang lagi wakil Malaysia dalam acara itu, Jamery Siga yang bersaing dalam saringan ketiga, telah dibatalkan penyertaannya.

Sementara itu di Olympic Stadium, Norsyazwani Abdullah sekali lagi gagal mempamer aksi cemerlang dalam saringan 200m wanita T38 (cerebral palsy).

Norsyazwani, 25, sekadar mencatat masa 31.83s pada saringan kedua yang dimenangi Chen Junfei dari China dengan catatan 28.29s. Pada Sabtu lepas, Norsyazwani juga gagal melayakkan diri dalam acara 100m kategori yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain