suria

Lagenda Badminton Punch Gunalan Meninggal Dunia

Punch Gunalan pernah membinbing pasukan negara hingga menjuarai Piala Thomas 1992.Foto: THE STAR/Uu Ban Leong
Punch Gunalan pernah membinbing pasukan negara hingga menjuarai Piala Thomas 1992.Foto: THE STAR/Uu Ban Leong
Punch Gunalan pernah membinbing pasukan negara hingga menjuarai Piala Thomas 1992.Foto: THE STAR/Uu Ban Leong

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara Datuk Punch Gunalan meninggal dunia di Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya dekat sini pagi ini akibat barah.

Punch Gunalan, 68, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 6:20 pagi ini di pusat perubatan yang dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Subang Jaya setelah terlantar sakit tenat sejak dua minggu lepas.

Mendiang meninggalkan seorang balu, P.Vijeyakumari, 64, dan seorang anak lelaki Roshan Gunalan, 36, yang kini merupakan seorang doktor ortopedik.

Punch Gunalan merupakan antara pemain badminton yang paling berbakat dalam acara perseorangan dan beregu yang pernah dilahirkan di negara ini apabila menyumbang beberapa butir pingat untuk negara pada beberapa kejohanan badminton antarabangsa.

Penglibatan cemerlang Punch Gunalan dalam sukan badminton bermula pada awal 1960-an dengan menjadi juara Kejohanan Badminton Negeri Sembilan bagi acara perseorangan, beregu lelaki dan beregu campuran (1961-1963).

Sumbangan terbesar beliau ialah pernah muncul juara pada kejohanan badminton berprestij All England dalam acara beregu lelaki bersama pasangannya Ng Boon Bee pada tahun 1971.

Sebelum itu pada 1970, Punch Gunalan dengan pasangan beregu yang sama mencipta sejarah memenangi pingat emas pertama Komanwel untuk Malaysia di Edinburg, Scotland.

Punch Gunalan dan pasangan yang sama meraih pingat emas Sukan Asia di Bangkok, Thailand dalam acara beregu pada tahun yang sama iaitu 1970 selain memenangi emas dalam acara perseorangan lelaki di temasya sukan tersebut.

Pada 1974, beliau cemerlang sekali lagi pada Sukan Komanwel, Christchurch, New Zealand apabila meraih emas acara perseorangan dan gangsa bagi acara beregu.

Beliau juga pernah membawa balik pingat emas dalam acara perseorangan dan beregu pada kejohanan Southeast Asian Peninsular Games di Singapura pada 1973.

Punch Gunalan juga pernah mewakili skuad Piala Thomas pada 1970 dan sekali lagi pada 1973.

Beliau juga pernah dianugerahkan Olahragawan Negara pada 1969 dan 1974.

Selepas berhenti bermain, Punch Gunalan bergiat aktif sebagai jurulatih kebangsaan dan berjaya membimbing skuad kebangsaan meraih kejayaan pada Kejohanan Piala Thomas di Kuala Lumpur pada 1992.

Antara anak didik Punch Gunalan yang terkemuka ialah Rashid Sidek, Razif Sidek dan Foo Kok Keong.

Punch Gunalan juga aktif dalam Asian Badminton Confederation (ABC) sebagai Setiausaha Agung Kehormat dan Presiden Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) dari 2004 hingga 2008.

Beliau juga pernah memegang jawatan Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 1985 sehingga 1997. Jawatan terakhirnya dalam badan sukan badminton Malaysia itu ialah sebagai Timbalan Presiden pada 2005.

Punch Gunalan juga pernah diberi pengiktirafan mewakili Malaysia menerima baton Sukan Komanwel dari Ratu Elizabeth di Istana Buckingham, London pada 1998.

Jenazah mendiang dibawa ke kediamannya di No.9, Jalan 12/14B, Petaling Jaya untuk penghormatan terakhir mulai pukul 1 tengah hari ini sebelum disemadikan di Pusat Crematorium Kampung Tunku, Petaling Jaya pada pukul 4 petang Khamis.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata, Punch Gunalan banyak menyumbang kepada negara bukan sahaja sebagai atlet tetapi juga dalam bidang kejurulatihan dan khidmat sebagai pegawai sukan tertinggi dalam badan sukan seperti IBF.

Beliau menyifatkan Malaysia kehilangan bakat yang besar dengan kematian Punch Gunalan itu kerana beliau telah banyak mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Saya secara peribadi mengenali beliau sebagai seorang yang banyak mengajar dan membantu dalam pembangunan arena badminton negara," katanya.

Eksekutif Perhubungan Awam/Media Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb) Muhammad Aiman Aminul Abdullah berkata yayasan itu akan menyampaikan sumbangan RM11,000 kepada keluarga mendiang.

"Mendiang Punch Gunalan adalah antara ahli terawal yang menyertai Yakeb sejak tahun 2008 dan beliau banyak memberi sumbangan tenaga dan masa dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Yakeb," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain