suria

KOM Akan Kaji Semula Cara Pemilihan Atlet Ke Temasya Sukan Berprestij

SEPANG: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan mengkaji semula cara pemilihan atlet olahraga bagi memastikan mereka yang berpotensi meraih pingat dipilih menggalas cabaran negara pada temasya sukan berprestij seperti Sukan Olimpik.

Naib Presiden KOM Datuk R. Annamalai berkata perkara itu perlu dikaji dengan lebih teliti bagi memastikan atlet yang diberi peluang badan induk olahraga negara itu mempamerkan aksi cemerlang sebagaimana yang disasarkan terhadap mereka.

"Kita akui atlet kita tidak mempamerkan prestasi sebagaimana yang diharapkan pada Sukan Olimpik London yang baru sahaja berakhir.

"Kita akan kaji semula (pemilihan atlet yang sesuai) untuk mewakili negara ke temasya seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya apabila kita menghantar mereka menyertai temasya itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tiba dari London bersama atlet 400m lari berpagar wanita negara Noraseela Khalid dan atlet lompat tinggi lelaki negara Lee Hup Wei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, Selasa.

Noraseela, 32, menamatkan saingan di tempat terakhir dalam acara tersebut di peringkat saringan dengan masa 1 minit 16 saat, jauh daripada catatan peribadi terbaiknya 56.02s manakala Hup Wei hanya melepasi ketinggian 2.16 meter, jauh daripada rekod kebangsaannya iaitu 2.27m.

Pemilihan kedua-dua atlet itu, sebelum ini dikatakan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa atlet olahraga namun dua atlet tersebut meminta perkara tersebut tidak dipersoalkan memandangkan pemilihan mereka dilakukan sendiri oleh KOM.

Annamalai yang merupakan pengurus pasukan olahraga negara di Olimpik London, berkata beliau kecewa dengan persembahan dua atlet tersebut pada temasya sukan berkenaan, bagaimanapun tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak di atas kegagalan tersebut.

"Sebelum kita bertolak ke London, kita meletakkan harapan tinggi kepada dua atlet tersebut namun kita tidak menjangkakan mereka berdua akan mempamerkan aksi yang mengecewakan pada temasya sukan itu.

"Kita bagaimanapun tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak termasuk atlet itu sendiri di atas perkara ini namun kita mendapat pengajaran yang berguna (dalam memilih atlet ke Sukan Olimpik)," katanya.

Ditanya perancangan badan induk olahraga negara itu pada masa depan, Annamalai berkata pihaknya akan memberi tumpuan menggilap atlet pelapis sedia ada bagi memastikan mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi seperti Sukan Olimpik.

"Kita ada beberapa atlet pelapis yang berpotensi selain bakat-bakat baru di peringkat negeri, jadi kita kena gilap bakat mereka namun sekiranya mereka gagal mengatasi rekod dicipta atlet sedia ada (senior), maknanya kita harus mengekalkan atlet tersebut (senior) dalam skuad olahraga negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain