suria

Fatehah Dinasihat Tebus Kekecewaan Pada Olimpik Akan Datang

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal negara Fatehah Mustapha kini menyasarkan kelayakan ke temasya Olimpik Rio 2016 bagi menebus kekecewaan di London.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata pengalaman di Olimpik London harus dijadikan pengajaran berharga oleh atlet berusia 23 tahun itu untuk kejayaan masa depan.

"Kami memuji beliau kerana menjadi atlet berbasikal wanita pertama Malaysia layak ke Olimpik dan mungkin kami terlalu berharap daripada pendedahan pertama beliau ini," katanya menerusi emel kepada media, di sini Sabtu.

Fatehah gagal menempatkan diri dalam kalangan tiga pelumba teratas Keirin Wanita pusingan pertama repechages pada Olimpik London semalam, selepas beliau menduduki tempat kelima daripada enam pelumba dalam saringan kedua.

Atlet Britain Victoria Pendleton meraih emas acara itu, sementara perak dimenangi pelumba China Guo Shang dan Lee Wai Sze dari Hong Kong mengutip pingat gangsa.

Menurut Naim, Fatehah yang pernah menewaskan Pendleton, Guo dan Lee ketika kejohanan dunia sebelum ini, tidak berada dalam elemen terbaiknya ketika pertandingan pada Jumaat.

"Beliau gementar dan tidak dapat menumpukan perhatian. Beliau teragak-agak dan terbawa-bawa dengan suasana keseluruhan," katanya.

Bagaimanapun kata Naim, atlet anak jati Terengganu itu berhak menerima semua sokongan dan bantuan bagi mengangkat martabat sukan berbasikal wanita negara pada temasya berprestij tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain