suria

Azizulhasni Perlu Acara Pecut Untuk Cemerlang Di Acara Keirin - Zolkples

LONDON: Keputusan memilih pelumba trek sensasi negara Mohd Azizulhasni Awang menjadi pelumba bagi kedua-dua acara keirin dan pecut pada Sukan Olimpik 2012 adalah bagi membolehkan dia mendapat kejohanan pemanas badan yang secukupnya.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, Mohd Azizulhasni yang akan memulakan cabaran dengan beraksi dalam acara pecut pada Sabtu perlu memanaskan badan secukupnya sebelum beraksi dalam acara keirin pada 7 Ogos ini.

"Josiah Ng sebagai pelumba simpanan bagi kedua-dua acara pula (pecut dan keirin) bukan seorang pelumba pecut. Mohd Aizulhasni berkeupayaan dalam kedua-dua acara terutama keirin.

"Sebab itu jurulatih John Beasley memilih Mohd Azizulhasni sebagai pelumba utama bagi kedua-dua acara itu," katanya kepada pemberita, di sini Jumaat.

Pengurus pasukan berbasikal negara ke temasya ini, Datuk Naim Mohamad pada awal minggu ini menamakan pelumba dari Terengganu yang berpengkalan di Melbourne, Australia itu sebagai pelumba utama bagi acara pecut dan keirin di Olimpik 2012.

Keputusan itu sedikit mengejutkan kerana Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) sebelum itu menamakan Mohd Azizulhasni yang digelar 'The pocket rocket man' sebagai pelumba acara keirin dan pengganti acara pecut sementara Josiah sebagai pelumba utama acara pecut dan pengganti bagi keirin.

Zolkples berkata, jika Josiah diletakan sebagai pelumba utama acara pecut, Mohd Azizulhasni tidak mempunyai pertandingan pemanas badan sebelum acara keirin bermula.

"Latihan dan pertandingan adalah dua situasi yang berbeza. Dengan menyertai acara kompetitif seperti pecut, Mohd Azizulhasni akan mendapat kekuatan untuk berkayuh dalam acara keirin dan diharap mampu memecah kebuntuan pingat emas Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain