suria

Kecederaan Tidak Halang Elisha Perbaharui Rekod Sukma

PEKAN: Kecederaan tidak menghalang Elisha Louis Tan Kim Ho yang mewakili Wilayah Persekutuan untuk memperbaharui rekod Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 bagi acara 'snatch' untuk kategori berat badan tidak melebihi 105kg lelaki. Kejayaan itu diperoleh pada hari terakhir acara tersebut yang berlangsung di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, Ahad.

Elisha Louis, 20, mengangkat beban 142kg bagi acara 'snatch' mengatasi rekod lama yang sebelum ini dipegang oleh atlet Negeri Sembilan, Rahimi Rahim pada Sukma Melaka 2010 dengan berat 141kg.

Atlet yang mewakili Wilayah Persekutuan itu juga menguasai acara 'clean and jerk' dengan angkatan atas palang 165kg dan seterusnya membawa balik dua pingat emas dalam kedua acara kategori berat badan tidak melebihi 105kg lelaki.

Pingat perak menjadi milik Asraf Hashim mewakili Melaka dengan keseluruhan 250kg iaitu 115kg bagi acara 'snatch' dan 135kg bagi 'clean and jerk'.

Mohamad Nasir Roslan dari Pahang meraih pingat gangsa dengan angkatan keseluruhan 216kg iaitu 91 kg bagi acara 'snatch' dan 125kg bagi 'clean and jerk'.

Elisha Louis berkata kejayaan hari ini adalah hasil usahanya secara bersungguh-sungguh selama ini.

"Saya amat puas hati dengan pencapaian hari ini walaupun baru pulih daripada kecederaan bahu sepuluh hari lepas," katanya kepada pemberita di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan.

Beliau berkata apa yang diperoleh ini amat bermakna bagi dirinya setelah gagal meraih pingat emas dalam acara yang sama pada Sukma Melaka 2010.

"Selepas ini saya akan memberi tumpuan memburu pingat emas di Sukan Komanwel di Glasgow, Britian 2014," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain