suria

Johor Cipta Kejutan Raih Emas Bola Tampar

KUANTAN: Skuad bukan pilihan Johor melakukan kejutan apabila mengalahkan Pahang untuk merangkul emas acara bola tampar lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15, di sini Sabtu.

Johor menundukkan Pahang 3-0 (25-23, 25-22, 26-24) di hadapan penyokong tuan rumah yang memenuhi Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hing di sini.

Meskipun Pahang menurunkan pemain kebangsaan Cheoh Jia Ming sebagai penyerang utamanya, skuad Gajah itu gagal menyekat kemaraan Johor yang mendapat sentuhan berbisa Ahmad Bakhtar Abdul Malik dan Chong Hong Kiat.

Jurulatih Johor, Franco Liu berkata sebelum kejohanan anak buahnya tidak berkeyakinan untuk mensasarkan pingat memandangkan pasukan-pasukan pilihan iaitu Pahang, Selangor, Sarawak dan Terengganu dibarisi ramai pemain kebangsaan.

"Namun mereka mula berkeyakinan dan bertambah bersemangat untuk meraih pingat apabila berjaya menundukkan Terengganu pada peringkat suku akhir kelmarin," katanya.

Walaupun tanpa pemain kebangsaan, skuad bimbingan Liu itu mampu untuk merangkul kejuaraan dengan kesungguhan dan kerja keras dalam latihan sejak tiga bulan lalu.

Katanya antara kelebihan yang dimiliki anak buahnya ialah mereka turun bermain tanpa sebarang tekanan selain memiliki kekuatan mental.

"Anda boleh lihat sendiri bagaimana penyokong Pahang bersorak tetapi mereka (skuad Johor) tetap tenang dan fokus pada perlawanan," katanya.

Sementara itu, Sarawak muncul pemenang emas bagi kategori wanita apabila mengenepikan cabaran Johor 3-1 (25-19, 19-25, 25-18, 25-23).

Selangor meraih gangsa bagi saingan lelaki manakala Perak membawa pulang pingat itu menerusi kategori wanita. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain