suria

Badminton: Latihan Beregu Campuran Terjejas Akibat Kecederaan

Persiapan ke London sedikit terjejas selepas Chan Peng (kanan) mengalami kecederaan tangan kanan.
Persiapan ke London sedikit terjejas selepas Chan Peng (kanan) mengalami kecederaan tangan kanan.
Persiapan ke London sedikit terjejas selepas Chan Peng (kanan) mengalami kecederaan tangan kanan.

KUALA LUMPUR: Latihan beregu campuran negara Goh Liu Ying/Chan Peng Soon ke Sukan Olimpik 2012 di London yang kini tinggal tujuh minggu sahaja lagi, terganggu apabila Chan dilaporkan mengalami kecederaan tangan kanan.

Beregu ranking kelapan dunia itu kini kerap berlatih secara berasingan memandangkan Chan banyak menghabiskan masa untuk menjalani rawatan.

"Buat masa ini kami selalu berlatih secara berasingan. Latihan saya lebih banyak tertumpu pada membina kekuatan dan 'speed'," kata Goh kepada Bernama.

Menurutnya, Chan mula mengalami kesakitan pada tangan kanan semasa mereka menyertai Kejohanan Terbuka India, April lalu. "Ia mengakibatkan Chan merasa sakit setelah bermain untuk seketika. Setahu saya ia berkaitan dengan saraf," katanya. Mengakui agak risau dengan keadaan itu, Goh berharap regunya itu akan pulih sepenuhnya sebelum Siri Super Premier Terbuka Indonesia pada 12-17 Jun ini serta Siri Super Terbuka Singapura dari 19 hingga 24 Jun.

"Saya harap Chan sembuh sebelum kejohanan tersebut yang juga merupakan sebahagian daripada persediaan kami untuk Olimpik. Selepas itu, hanya tinggal lebih kurang sebulan saja lagi untuk kami berlatih bersama," katanya.

Beregu bimbingan jurulatih Jeremy Gan itu mencipta sejarah sebagai pasangan sulung mewakili Malaysia dalam acara beregu campuran yang dipertandingkan buat kali pertama di Olimpik 2012.

Berhadapan cabaran beregu-beregu terkemuka dunia, Goh dan Chan meletakkan sasaran pingat tanpa mengira warna pada kejohanan berprestij itu.

"Memang harapan kami ialah untuk meraih pingat tanpa mengira warna walaupun sebenarnya sasaran itu agak tinggi untuk tahap kami sekarang.

"Bagi saya, buat masa ini saya tidak mahu fikir terlalu banyak. Saya tidak mahu letak tekanan pada diri sendiri dan hendak fokus pada latihan," kata Goh yang berasal dari Batu Berendam, Melaka. -BERNAMA

Artikel Lain