suria

Klinik Perlumbaan Cub Prix Percuma Di Teluk Intan

Shahrul Yuzy (kiri) menunjukkan cara-cara menunggang motosikal dengan betul ketika mengendalikan Klinik Perlumbaan Cub Prix sebelum ini.
Shahrul Yuzy (kiri) menunjukkan cara-cara menunggang motosikal dengan betul ketika mengendalikan  Klinik Perlumbaan Cub Prix sebelum ini.
Shahrul Yuzy (kiri) menunjukkan cara-cara menunggang motosikal dengan betul ketika mengendalikan Klinik Perlumbaan Cub Prix sebelum ini.

SEMPENA pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan pada 9 dan 10 Jun ini, Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) akan menganjurkan Klinik Perlumbaan Cub Prix secara percuma hujung minggu ini.

Program yang memasuki tahun ketiga dianjurkan ini dikendali bekas pelumba MotoGP, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang turut merupakan pengurus pasukan Pachie Yuzy Honda Racing.

Peserta-peserta yang menyertai klinik ini akan diperkenalkan dengan perlumbaan profesional melibatkan topik pengenalan kepada dunia sukan lumba motor, panduan untuk mendapatkan lesen perlumbaan, keperluan asas dan peralatan perlumbaan, peraturan dan undang-undang, teknik perlumbaan serta bagaimana untuk menjadi pelumba profesional.

Objektif utama penganjuran klinik perlumbaan ini adalah untuk mendidik orang ramai khususnya remaja mengenai sukan bermotor dan bagaimana mereka dapat menyalurkan minat mereka terhadap perlumbaan dengan cara yang betul serta baik untuk perkembangan diri sendiri dan juga sukan tanah air.

Cub Prix merupakan landasan terbaik untuk pendatang baru mencungkil bakat dan meneroka potensi yang ada pada mereka.

Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg menggalakkan orang ramai khususnya remaja agar mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang sukan lumba motor.

"Ia terbuka kepada semua dan dianjurkan secara percuma. Kepada remaja-remaja di Perak yang berminat dan juga ibu bapa mereka dijemput untuk menyertai program ini.

"Ini satu peluang yang tidak boleh dilepaskan kerana mereka turut bersemuka dengan pelumba berpengalaman, Shahrol Yuzy," jelas Ron.

Klinik Perlumbaan Cub Prix ini diadakan secara percuma bertempat di Dewan Bandaran Teluk Intan, Jalan Speedy bermula jam 5.00 petang hingga 6.30 petang pada Sabtu (9 Jun) ini dan terbuka kepada 120 peserta sahaja.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Encik Aziz Ahmad Razi dari Jabatan Belia dan Sukan Daerah Teluk Intan di talian 012-694 9161 untuk sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, www.malaysiancubprix.com

Artikel Lain