suria

Semua Pihak Perlu Tolak Rasuah Bola Sepak: Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembangunan bola sepak negara supaya menolak aktiviti rasuah dalam sukan itu.

Beliau berkata gejala rasuah termasuk mengatur perlawanan mungkin dianggap sukar untuk dibuktikan tetapi ada kaedah untuk mengesan mereka yang terlibat.

"Sekarang ni kita mesti menolak rasuah ini. Sokongan peminat bola sepak amat diperlukan dalam pembelian tiket kerana pulangan itu akan dibayar kepada pemain sekaligus memberi semangat kepada mereka.

"Ini boleh menghalang gejala rasuah daripada menular," katanya kepada pemberita pada Himpunan Jutaan Belia 2012 di sini, Jumaat.

Singapura semalam dilaporkan mendakwa dua rakyat Malaysia iaitu pengadil bola sepak Shokri Nor dan bekas pemain Thana Segar Sinnaiah atas tuduhan mengatur perlawanan bola sepak Liga Super oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga SGD$100,000 (kira-kira RM246,000) setiap seorang atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

"Saya harap apa yang berlaku menjadi contoh kepada yang lain (untuk tidak terlibat dalam perbuatan rasuah)," kata Ahmad Shabery.

Beliau menarik perhatian bahawa kesalahan mengatur permainan turut berlaku di negara-negara lain termasuk di benua Eropah.- BERNAMA

Artikel Lain