suria

ATM Terus Gah Di Persada Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mempertahankan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana dengan kutipan 35 mata biarpun dikejar rapat pencabar utama, Pahang dengan kelebihan jaringan.

ATM berjaya mengutip mata penuh selepas menewaskan pasukan Harimau Muda B 1-0 di Stadium Shah Alam malam ini.

Gol tunggal ATM hanya hadir pada babak kedua perlawanan apabila Hairuddin Omar memecahkan kebuntuan pasukan itu menerusi jaringan pada minit ke-79.

Pahang terus berada di tangga kedua selepas mengalahkan Sime Darby 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Johor pula menewaskan Majlis Bandaraya Johor Bahru 2-0 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin menerusi jaringan pemain importnya, Muriel Juan pada minit ke-26 dan 30'.

USM FC mencatat kemenangan besar apabila membelasah Negeri Sembilan Betaria 6-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

S.Veenod menjadi wira pasukan itu apabila menjaringkan empat gol pada minit ke-62, 70', 87' dan 89', manakala dua lagi gol USM FC disumbangkan Kaye Edrisar (minit ke-78) dan Katende Jerome (minit ke-40).

Gol sagu hati Negeri Sembilan Betaria pula disumbangkan Mohd Faizal Mohd Yusoff pada minit ke-10.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Polis Diraja Malaysia menewaskan MP Muar 4-1, manakala Pos Malaysia mengalahkan Perlis 2-1 di Stadium Utama, Kangar.

Sementara itu, dalam satu perlawanan Liga Super, Perak menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Ipoh.

Gol pasukan Perak dijaringkan pemain tengah Michal Kubala menerusi sepakan percuma pada minit ke-16 dan Albert Bodjongo kemudian menggandakannya pada minit ke-82. -BERNAMA

Artikel Lain