26 Atlet Malaysia Layak Ke Sukan Olimpik Setakat Ini - Ahmad Shabery - Sukan | mStar

26 Atlet Malaysia Layak Ke Sukan Olimpik Setakat Ini - Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Dua puluh enam atlet daripada tujuh jenis sukan setakat ini, layak secara merit ke Sukan Olimpik di London, Julai depan, persidangan Dewan Negara diberitahu, Khamis.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata mereka terdiri daripada lapan atlet bagi acara akuatik-terjun, badminton (enam), memanah (empat), berbasikal trek (tiga), berbasikal lebuh raya (dua) dan masing-masing seorang bagi acara menembak, lawan pedang dan angkat berat.

"Bagi atlet untuk acara akuatik-renang, kita sedang menunggu keputusan daripada Persekutuan Akuatik Antarabangsa (Fina) untuk layak di bawah kategori B.

"Negara meletakkan harapan utama memenangi pingat emas di Sukan Olimpik dalam acara badminton khususnya menerusi Datuk Lee Chong Wei. Sukan berbasikal terutamanya melalui Azizulhasni Awang juga mampu membuat kejutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah mengenai penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik London termasuk bilangan atlet, sasaran emas selain perancangan awal untuk Sukan Olimpik 2016 dan 2020.

Ahmad Shabery berkata Azizulhasni, yang digelar 'The Pocket Rocketman', mempunyai kelebihan daripada segi usia bagi menyumbang pingat emas pertama negara terutamanya pada Sukan Olimpik 2016.

"Pada usia 24 tahun sekarang, Azizulhasni mampu berada pada kedudukan antara kedua dan ketiga di dunia bagi acara keirin serta menjadi pencabar utama kepada pelumba utama keirin dunia Sir Chris Hoy yang kini berusia 36 tahun.

"Jika prestasinya baik pada Sukan Olimpik kali ini, beliau mampu menewaskan Chris Hoy dan memenangi emas. Namun sekiranya tidak berjaya, pada 2016 beliau masih mampu menjadi pelumba utama atas faktor usia, malah lebih berpengalaman," katanya.

Selain itu, beliau berkata sukan memanah, akuatik-terjun dan menembak turut mempunyai peluang memenangi pingat berdasarkan prestasi semasa serta perubahan format pertandingan dalam beberapa jenis sukan.

Ahmad Shabery berkata kementerian menyediakan pelan strategik program latihan prestasi tinggi ke arah 2020 meliputi empat bidang Keberhasilan Utama iaitu latihan atlet elit, latihan atlet pelapis, pembangunan kejurulatihan dan penganjuran kejohanan dalam negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain