suria

Belia Diseru Ceburi Industri Sukan

KUALA LUMPUR: Industri sukan negara semakin berkembang hingga membuka banyak ruang keusahawanan dan pekerjaan untuk diceburi golongan belia, kata Majlis Belia Malaysia (MBM).

Presiden MBM Mohamad Maliki Mohamed Rafiee berkata industri itu meliputi lebih 40 kategori seperti pelancongan, pengangkutan, makanan dan produk pakaian yang mampu menjana ekonomi negara selain memberi peluang pekerjaan kepada golongan belia.

"Belia dilihat mampu untuk mencapai tahap tertinggi menerusi bidang sukan dan industri sukan.

"Cita-cita Majlis Belia Malaysia mahu melihat para belia memiliki nilai tambah, selain menyokong hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Ekspo Industri Sukan 2012 (MSIE 2012) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Eskpo tersebut dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ekspo tiga hari itu akan berakhir pada Ahad.

Pameran yang julung kali diadakan itu melibatkan lebih 200 organisasi dan antara yang menarik perhatian pengunjung adalah replika watak komik Transformers, Optimus Prime, setinggi 22 kaki.

Selain itu terdapat juga aktiviti seperti 'Football Freestyle', Himpunan Selebriti Sukan, 'Battle of the Band', 'paintball', 'wall climbing' serta persembahan artis.

Mohamad Maliki berkata sambutan orang ramai terhadap ekspo itu amat menggalakkan setakat ini dan pihaknya bercadang untuk meneruskan program tersebut pada masa akan datang.

"Ekspo ini berjaya menarik perhatian pelbagai golongan yang berminat dengan sukan. Ada yang berminat untuk menceburi keusahawanan, ada yang berminat dengan 'motorsports', 'paintball' , produk pakaian dan sebagainya," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain