suria

Vietnam Medan Bentuk Semula Skuad Bola Sepak Wanita Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Kejohanan Bola sepak Wanita Asean kali keenam di Vietnam pada September ini akan dijadikan medan untuk membentuk semula skuad bola sepak wanita negara agar lebih mantap.

Ketua jurulatih bola sepak wanita kebangsaan Jacob Joseph berkata kejohanan tahunan itu juga merupakan medan penting untuk skuad tersebut menghadapi Sukan SEA ke-27 di Myanmar tahun depan.

"Sebelum ini, pasukan kita pernah dibelasah dengan jaringan besar oleh beberapa negara Asean seperti Thailand, jadi saya berharap melalui kejohanan ini saya mampu membentuk semula pasukan kita supaya mereka mampu bersaing dengan negara rantau Asean yang lain," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak meletakkan sasaran khusus pada kejohanan kali ini memandangkan skuad itu baru sahaja dibentuk selepas dibubarkan pada 2010 ekoran pencapaian buruk pada Sukan SEA 2009 di Laos termasuk dibelasah 0-14 oleh Thailand pada perlawanan pembukaan.

"Saya tidak menagih kemenangan untuk mereka pada kejohanan kali ini kerana apa yang lebih penting bagi saya ialah peningkatan kemahiran permainan bola sepak yang dipamerkan oleh mereka," kata bekas pengendali pasukan Piala Presiden UPB-MyTeam itu.

Ditanya mengenai persiapan bagi menghadapi kejohanan tersebut, Jacob berkata skuad tersebut kini menjalani latihan pusat di Teluk Intan, Perak.

"Latihan selama enam bulan ini bermula bulan lepas bukan sahaja dijadikan sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan tersebut, tetapi pada masa sama turut mempromosikan sukan bola sepak wanita di kalangan penduduk daerah ini," katanya.

Katanya untuk kejohanan kali ini, beliau akan membawa 29 pemain yang juga pemain futsal dan 19 daripadanya adalah muka baru.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan yang bermula sejak 2006 itu ialah meraih tempat keempat pada 2007 di Myanmar.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain