suria

Yang di-Pertuan Agong Berangkat Sertai Golf Diraja

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat ke acara Golf Diraja di sini, Sabtu, yang dianjurkan sempena pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ketibaan Seri Paduka berdua di Glenmarie Golf and Country Club (GGCC) pada kira-kira 7.30 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seri Paduka berdua kemudian berkenan bersarapan bersama peserta Golf Diraja sebelum acara bermula 8.15 pagi.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail turut berangkat menyertai acara itu selain Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Antara menteri kabinet yang mengambil bahagian ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jemputan lain ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Tuanku Abdul Halim, yang juga Sultan Kedah, ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 Rabu lepas. - BERNAMA

Artikel Lain