suria

Cub Prix: Shahril Kembali Pertahan Mahkota CP115

Shahril sedia memberi saingan dalam kategori CP115 hujung minggu ini.
Shahril sedia memberi saingan dalam kategori CP115 hujung minggu ini.
Shahril sedia memberi saingan dalam kategori CP115 hujung minggu ini.

SELEPAS satu pusingan beraksi dalam kategori CP130, Shahril Izzuwan Mohd Noor akan kembali ke kategori CP115 bermula Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu hujung minggu ini.

Keputusan itu dibuat pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM hasil pertimbangan teliti mereka mendapati gaya tunggangan Shahril lebih sesuai dengan jentera CP115.

Di samping itu pertukaran ini dilihat sebagai langkah terbaik bagi mencapai objektif pasukan untuk mempertahankan gelaran pasukan terbaik CP115 yang dimenangi dua tahun berturut-turut (2010 dan 2011).

Bagi Shahril pula, langkah ini memberi peluang untuk mempertahankan gelaran Juara CP115 yang dimenangi musim lalu.

"Pasukan kami mempunyai matlamat yang besar. Selain mahu mengekalkan gelaran keseluruhan individu dan berpasukan CP115, kami juga mencari peluang untuk menguasai kategori CP130 dan saya akan cuba yang terbaik bagi mencapai sasaran yang dikehendaki," jelas pelumba dari Pulau Pinang itu.

Perlumbaan Pusingan 2 bakal menyaksikan Shahril berganding bahu dengan juara Batu Kawan, Mohd Iskandar Raduan manakala Zulsyafiz akan membawa cabaran kategori CP130 bersama-sama Mohd Ramdan Mohd Rosli.

Bercakap tentang sasarannya hujung minggu ini, Shahril menjangkakan perlumbaan yang sukar memandangkan tahap persaingan dalam kelas pertengahan ini semakin meningkat.

"Untuk mempertahankan gelaran juara jauh lebih mencabar berbanding memenanginya.

"Selain itu saya berpendapat perlumbaan di Kuala Terengganu kali ini pasti sangat sukar kerana berdasarkan apa yang berlaku di Batu Kawan, jelas kebanyakan pelumba CP115 lebih hebat baik dari segi kemahiran dan keupayaan jentera selepas cuti panjang.

"Sungguhpun begitu, saya yakin dengan kemampuan saya untuk memberi tentangan memandangkan mekanik pasukan telah menyediakan pelarasan jentera yang mantap.

"Secara peribadi, saya meletakkan sasaran untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan lima pelumba teratas dan jika berjaya menaiki podium, ia satu bonus buat saya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain