suria

Bekas Pengurus Kelab Hoki TNB Dilantik Setiausaha Agung MHC

KUALA LUMPUR: Bekas pengurus kelab hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) Mohd Johari Abdul Aziz dilantik sebagai Setiausaha Agung Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang baru menggantikan Maninderjit Singh yang meletakkan jawatan bulan lepas.

Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, ketika mengumumkan perkara itu, bertitah Mohd Johari dipilih berdasarkan pengalaman luas yang dimilikinya dalam sukan hoki tanah air.

"Dia (Mohd Johari) merupakan seorang nama yang begitu popular dalam sukan hoki negara. Saya yakin beliau akan menggunakan segala pengalamannya untuk membantu memajukan lagi sukan hoki di negara ini," titah baginda selepas mempengerusikan mesyuarat MHC di sini Selasa.

Tengku Abdullah bertitah ketua jurulatih hoki negara Tai Beng Hai diberi kepercayaan oleh badan induk hoki itu untuk meneruskan tugasnya secara sementara.

"Kita akan cuba mendapatkan beberapa calon yang sesuai untuk mengisi jawatan yang ditinggalkan beliau (Beng Hai) dalam masa terdekat," titah Tengku Abdullah.

Maninderjit dan Beng Hai sebelum ini bertindak meletakkan jawatan masing-masing kerana berasa bertanggungjawab terhadap kegagalan skuad hoki negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012.

Pada aksi kelayakan hoki Zon Asia yang berlangsung di Dublin, Ireland bulan lepas, skuad hoki negara mencatatkan tiga kemenangan selain satu seri dan satu kekalahan untuk menduduki tangga ketiga di belakang Korea Selatan yang layak ke Olimpik, dan Ireland.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Mohd Johari berterima kasih kepada Tengku Abdullah kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk menjawat jawatan itu.

"Tugas pertama saya ialah menyusun kembali MHC kerana badan ini turut dianggotai oleh Persatuan Hoki Wanita Malaysia," katanya yang telah berkecimpung dalam sukan hoki hampir 30 tahun.

Beliau turut berkata fokusnya selepas ini terarah kepada persiapan skuad hoki remaja negara bagi menghadapi Kejohanan Hoki Kelayakan Remaja Asia di Melaka pada 3 hingga 13 Mei ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain