suria

Bermain Dalam Liga Malaysia Baik Untuk Brunei - Putera Sufri

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah-21 Brunei yang sebelum ini memenangi Trofi Hassanal Bolkiah (HBT), boleh mempertingkatkan standard permainan mereka dengan bermain dalam Liga Malaysia, kata Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Negara Brunei (NFABD) Putera Sufri Bolkiah.

"Jika kita mahu menjadi lebih baik, kita perlu (kaji untuk bermain dalam liga Malaysia). Lagi banyak mereka bermain di luar negara, mereka akan menjadi lebih baik," demikian kata Putera Sufri, seperti dipetik dalam laman web Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

"NFABD sedang mengkaji perkara ini. Kami masih di peringkat perancangan," katanya. Sultan Brunei pada bulan lepas mengeluarkan dekri bahawa skuad yang menjuarai HBT itu akan menjadi tunggak pasukan bola sepak negara Brunei di bawah seliaan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Skuad Bawah-21 Brunei menjuarai HBT selepas kemenangan 2-0 ke atas Indonesia dalam edisi keempat kejohanan dwitahunan itu yang berlangsung di Bandar Seri Begawan pada Mac.

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia pada Januari tidak menolak kemungkinan untuk mempelawa Brunei menyertai semula Liga Malaysia dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara menerusi sukan.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan NFABD akan merumuskan mekanisme bagi penyertaan Brunei itu.

Brunei pernah bermain dalam Liga Malaysia (ketika itu dikenali sebagai Liga Semi-Pro) dari 1989-1993 sebelum menyertai Liga Singapura pada 2009.

Kali terakhir Brunei memenangi Piala Malaysia ialah pada 1999 selepas mengalahkan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain