suria

Chong Wei Bakal Beraksi Di Terbuka India April Ini

PETALING JAYA: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tetap membuat persediaan bagi menghadapi Kejohanan Terbuka India walaupun kecederaan bahu kanannya masih belum pulih sepenuhnya. Chong Wei berkata, beliau akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap Kejohanan Terbuka India pada 24 hingga 29 April ini kerana ia merupakan kejohanan pertamanya selepas mengalami kecederaan bahu semasa perlawanan akhir All England Mac lepas.

"Saya akan terus menjalani latihan tetapi untuk membuat swing, saya masih tidak berani lagi kerana ada rasa takut dan sedikit fobia.

"Terbuka India akan berlangsung dalam masa tiga minggu lagi tetapi walaupun saya sudah pulih, saya masih belum 100 peratus bersedia kerana bimbang kecederaan akan berulang," kata Chong Wei yang juga duta Cafe99 pada sidang media selepas pelancaran produk kopi terbaru syarikat itu di Sunway Pyramid dekat sini, Ahad.

Chong Wei, yang nyata kecewa kerana tidak dapat membantu skuad Malaysia Tiger pada Kejohanan Badminton Piala Axiata, berjanji membantu skuad negara pada Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China pada 20 hingga 29 Mei depan.

"Saya rasa rugi kerana tidak dapat bermain untuk Piala Axiata tetapi akan memberi fokus yang lebih kepada Kejohanan Piala Thomas nanti," katanya.

Beliau berkata, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mengadakan latihan untuk pasukan Piala Thomas dua atau tiga minggu sebelum bertolak ke Wuhan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain