suria

Christina Sasar Lepasi Merit Sebelum Ke Olimpik

KUALA LUMPUR: Perenang kebangsaan, Christina Loh Yen Ling mahu terus berusaha untuk melayakkan ke Olimpik, London 2012 secara merit walaupun telah mengatasi masa had kelayakan B (Kelayakan Jemputan).

Perenang muda itu dijadualkan menyertai acara kuak dada 100m kategori umur 15-17 tahun esok pada Pertandingan Kategori Umur Kebangsaan Malaysia (PKUK) ke-48 yang julung kalinya dijadikan saringan kelayakan Olimpik di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini.

Untuk melayakkan diri secara merit dalam acara 100m kuak dada Christina perlu melepasi had minimum kelayakan iaitu satu minit 08.49s.

Sebelum ini beliau telah melepasi had kelayakan B dengan catatan masa 1:10.89s pada Kejohanan Kumpulan Usia Kebangsaan Singapura, Mac lepas.

"Sasaran yang saya hendak lakukan sebelum dateline ke Olimpik adalah dapat melepasi merit. Kini saya memberi tumpuan dalam latihan dan bersiap sedia untuk dua lagi kejohanan selepas ini," katanya ketika ditemui di sini Sabtu.

Christina berkata beliau akan menyertai Terbuka Malaysia pada 3 Mei hingga 7 Mei dan Kejohanan Asia Tenggara di Singapura dari 13 Jun hingga 17 Jun.

Terdahulu Christina yang mewakili Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur telah meraih tempat pertama pada kejohanan PKUK kategori 15-17 tahun bagi acara 50 meter kuak dada dengan catatan masa 32 minit 56 saat.

"Saingan hari ini prestasi biasa sahaja walaupun bukan kejohanan untuk ke Olimpik, saya perlu memperbaiki prestasi yang lebih baik," kata Christina.

Sementara itu, setelah berehat selepas menjalani pembedahan bagi membetulkan masalah Osteophyte (ketumbuhan yang terbentuk pada tulang biasa), perenang kebangsaan Daniel Bego nyata cemerlang dengan meraih tempat pertama bagi acara 50 meter gaya kupu-kupu untuk saringan umur 18 tahun ke atas.

Daniel, 23, yang mewakili Persatuan Renang Amatur Sarawak menduduki tempat pertama dengan catatan masa 26.38s.

"Saya tidak mahu fikir tentang sukan Olimpik buat masa ini dan hanya mahu bahu saya pulih sepenuhnya. Sekarang saya sudah mula membuat latihan dan mengikuti program yang disediakan dan bersiap sedia bagi Kejohanan Terbuka Malaysia dan Kejohanan Asia Tenggara di Singapura.

"Kecewa memang kecewa kerana tidak dapat menyertai kejohanan kelayakan ke Olimpik, tetapi itulah sukan. Saya harap lebih ramai lagi perenang layak ke Olimpik nanti bagi mewakili negara," kata Daniel. - BERNAMA

Artikel Berikut

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain