suria

Tunku Mahkota Johor Setuju Tanding Presiden KOM

JOHOR BAHARU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim bersetuju bertanding jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia pada mesyuarat agungnya yang dijadual hujung bulan ini selepas 12 daripada 15 persatuan negeri dilaporkan menyokong baginda.

Presiden Persatuan Olahraga Johor Datuk Mohd Rashidi Mohd Noor berkata, Tunku Ismail bersetuju dengan pencalonannya ke jawatan tertinggi KOM itu selepas ia diperkenankan oleh Sultan Johor.

"Pada 18 Mac lepas, wakil-wakil daripada 10 persatuan olahraga negeri telah menghadap Tunku Mahkota Johor berkenaan isu pencalonan baginda. Dua persatuan olahraga negeri yang tidak hadir pada pertemuan itu turut menyokong usaha itu," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya kesediaan Tunku Mahkota Johor menerima pencalonannya itu merupakan suatu penghormatan kepada KOM yang kini diterajui bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mohd Rashidi berkata sebagai seorang yang memiliki latar belakang ketenteraan dan ahli sukan, Tunku Ismail memiliki disiplin yang tinggi dan boleh menjadi contoh kepada anak muda negara ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain