suria

Yakeb Bantu Bekas Atlet Berkhidmat Sebagai Jurulatih

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb)akan membantu bekas atlet yang berkelayakan untuk berkhidmat sebagai tenaga pengajar atau jurulatih di agensi yang memerlukan khidmat mereka.

Pengerusi Yakeb, Datuk Jamil Salleh berkata pihaknya akan mengeluarkan surat sokongan untuk mencadangkan anggota yayasan itu, terdiri daripada bekas atlet negara, diberi keutamaan dilantik sebagai jurulatih di sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi swasta atau kerajaan yang memerlukann khidmat mereka.

"Ia sebagai menghargai pengorbanan mereka dalam mengharumkan nama negara apatah lagi tidak kesemua atlet yang bersara daripada arena sukan dijanjikan kerja atau memperoleh pendapatan tetap," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Kenyataan itu menyebut bahawa bekas jurulatih badminton kebangsaan Datuk Misbun Sidek turut menyokong usaha murni yayasan itu.

Misbun dipetik sebagai berkata bahawa usaha tersebut secara tidak langsung dapat menyediakan platform kepada bekas atlet menurunkan ilmu dan pengalaman mengenenai selok-belok permainan yang telah mereka ceburi.

"Cadangan Yakeb sangat baik untuk menaikkan industri sukan Malaysia. Kita sekarang mempunyai terlalu ramai kelompok pemain di satu-satu pusat latihan tetapi tidak dapat dipecahkan kerana kekurangan tenaga pengajar.

"Sekiranya dua hingga tiga orang jurulatih dapat diserap ke dalam setiap pusat latihan, di daerah-daerah, kita akan memperolehi kelompok pemain yang lebih besar," kata Misbun yang juga ketua jurulatih kelab badminton professional Nusa Mahsuri. -BERNAMA

Artikel Lain