suria

ISN Minta KOM Jelas Isu Doktor Dari Bulgaria

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) meminta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi penjelasan berhubung tindakan persatuan tertua negara itu menggunakan khidmat seorang doktor dari Bulgaria tanpa merujuk kepada pihaknya terlebih dahulu.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata ISN telah menghantar surat kepada KOM meminta penjelasan daripada badan induk sukan olahraga negara itu.

"ISN tidak menuduh KOM bersalah dalam hal ini kerana kita tidak tahu siapa yang sebenarnya bertanggungjawab membawa masuk doktor itu ke negara ini.

"Oleh itu, kita perlu menunggu pejelasan daripada KOM terlebih dahulu," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, Isnin.

Isu KOM mengguna khidmat doktor dari Bulgaria hangat diperkatakan apabila atlet 4x400m negara Muhammad Yunus Lasaleh mendakwa dirinya disuntik dengan sejenis dadah terlarang oleh seorang doktor Bulgaria dan mengambil pil berwarna merah dan putih ketika menjalani latihan pusat di Miri, Sarawak sebagai latihan fasa terakhir menghadapi Sukan SEA bersama jurulatih dari Bulgaria, Vasco Nedyalkov.

Pada 14 Feb lepas, pemenang pingat emas itu disahkan positif mengambil dadah jenis metandienone metabolitem dalam ujian antidoping menerusi sampel A dan B ketika beraksi pada temasya Sukan SEA Indonesia, November lepas.

Dr Ramlan berkata mengikut Akta ISN 2011, fungsi ISN adalah menyediakan perkhidmatan saintifik, nasihat, perundingan dan perkhidmatan yang berkaitan dalam sains sukan dan perubatan sukan.

"Oleh demikian, apa-apa perkara yang membabitkan pemilihan doktor perlu mendapat nasihat dan syor oleh ISN terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata mengikut prosedur ditetapkan, doktor dari luar negara yang ingin berkhidmat di negara ini perlu terlebih dahulu mendapat sijil kebenaran daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan MMC akan menghantar satu salinan sijil itu kepada ISN.

"Namun, sehingga kini ISN belum menerima makluman daripada MMC berhubung kebenaran doktor dari Bulgaria berkhidmat di negara ini," katanya.

Ramlan berkata jika KOM didapati mengambil doktor secara tidak sah dan dengan sengaja membelakangkan ISN dalam perkara itu, ISN boleh mengambil tindakan menyekat kemudahan sains sukan dan khidmat kesihatan yang diberikan percuma kepada badan sukan itu.

Dr Ramlan berkata namun demikian, ISN lebih memikirkan soal kepentingan atlet dan tidak akan bertindak secara terburu-buru.

"Oleh itu, ISN akan mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan perkara itu agar ia tidak menjejaskan atlet.

"ISN sentiasa bertindak secara telus dan ikhlas dalam memberi khidmat secara percuma kepada atlet dan persatuan, namun itu tidak bermakna ISN akan bersikap berdiam diri jika ada pihak yang tidak menghargai khidmat yang diberikan oleh ISN," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Sapawi Ismail berkata pihaknya tidak pernah dimaklumkan oleh KOM berhubung pengambilan doktor asing.

"MSN tidak terlibat dalam pengambilan doktor dari Bulgaria itu," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain