suria

China Rangkul Juara Kelayakan Piala Thomas

KUALA LUMPUR: China menjuarai pusingan Kejohanan Kelayakan Piala Thomas Zon Asia selepas menundukkan Jepun 3-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Macau, Ahad.

Pada perlawanan penentuan semalam, Indonesia menamatkan saingan pusingan Kejohanan Kelayakan Piala Thomas di tempat ketiga dan Malaysia di tempat keempat.

Skuad China memulakan kempen kemenangan dengan menyambar satu mata daripada pemain perseorangan No. 3 Dunia Chen Long dengan menewaskan perseorangan Jepun Sho Sasaki 21-19, 21-16 dalam masa 52 minit.

Mata seterusnya menjadi milik beregu No. 5 Dunia Chai Biao/Guo Zhendong setelah menundukkan pasangan Jepun Shoji Sato/Naoki Kawamae 21-17, 22-20 manakala perseorangan kedua China, Du Pengyu menutup tirai perlawanan dengan mengatasi Kazushi Yamada 21-12 dan 21-11.

China, Jepun, Indonesia dan Malaysia telahpun layak ke peringkat akhir Piala Thomas yang akan diadakan di Wuhan, China dari 20 hingga 27 Mei depan.

China mempunyai rekod cemerlang dengan mempertahankan kejuaraan Piala Thomas selama empat kali berturut-turut sejak tahun 2004.

Kejohanan Piala Thomas ialah kejohanan utama badminton peringkat antarabangsa bagi berpasukan lelaki yang akan berlangsung setiap dua tahun sejak diperkenalkan pada tahun 1949. -BERNAMA

Artikel Lain