suria

Ahmad Shabery Harap Skuad Olimpik Raih Kemenangan Pertama Bertemu Jepun

KEMAMAN: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengharapkan skuad bola sepak Olimpik negara mampu beroleh sekurang-kurangnya satu mata berharga menjelang aksi kelima Kumpulan C menentang Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

Ahmad Shabery berkata, pencarian kemenangan pertama amat bererti untuk dihadiahkan kepada peminat-peminat walaupun peluang telah tertutup setelah gagal mencatat sebarang kemenangan semasa saingan di peringkat kumpulan C kelayakan Zon Asia.

"Kita sudah dianggap sebagai sebuah pasukan terbaik di kalangan negara Asean dan saya percaya semangat dan keazaman yang berbaki itu akan terus diharungi sebaiknya dengan memberikan tentangan kepada pasukan matahari terbit itu.

"Saya harap mereka kini telah bersedia dan gunakan peluang sebaiknya beraksi di hadapan penyokong sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Maulidul Rasul peringkat daerah Kemaman, di sini, Sabtu.

Turut serta dalam perarakan itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, wakil-wakil rakyat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar-pelajar sekolah di sekitar daerah ini.

Ahmad Shabery berkata, walaupun skuad Olimpik negara menerima kekalahan 2-0 kepada Jepun ketika perlawanan pertama di Stadium Tosu pada 21 Sept tahun lepas, tidak ada sebab semangat pemain luntur atas rasa tanggungjawab menggalas tugas negara.

Dalam saingan tersebut, skuad Olimpik negara kendalian jurulatih Ong Kim Swee diundi dalam kumpulan C bersama-sama pasukan Jepun, Syria dan Bahrain. - BERNAMA

Artikel Berikut

Adiq Husainie Raih Pingat Perak

Artikel Lain