suria

Adiq Husainie Raih Pingat Perak

PUTRAJAYA: Selepas tiga hari Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia berlangsung tanpa sebarang pingat diraih skuad berbasikal lebuh raya negara, Muhamad Adiq Husainie Othman menceriakan penyokong tempatan dengan meraih pingat perak pada Jumaat.

Muhamad Adiq Husainie melepasi garisan penamat dengan kelompok bersama empat pelumba lain dengan catatan masa yang sama iaitu 3 jam 2 minit dan 5 saat. Acara itu dimenangi Tomohiro Kinoshita dari Jepun dan pingat gangsa dimenangi Arvin Moazemi Gourdarzi dari Iran, yang sebelum ini memenangi pingat emas acara ujian masa individu, Rabu lepas.

"Ini kali pertama saya menyertai kategori bawah 23 pada ACC kali ini kerana sebelum ini saya bertanding dalam kategori elit pada kejohanan di Dubai dan Korat (Nakhon Ratchasima).

"Saya memang sasar untuk menang pingat emas di sini tapi tidak bernasib baik. Dapat tempat kedua pun sudah cukup baik. Sebelum kejohanan ini, saya menjalani latihan bersama pasukan Champion System (pasukan berpangkalan di Hong Kong) di China dan dua minggu lepas menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan," katanya.

Tiga lagi pelumba negara, Ahmad Fakhrullah Alias, Muhammad Zulhilmie Ahmad Zamri dan Nik Mohd Azwan Zulkiflie menamatkan saingan dalam kelompok kedua pelumba dengan masing-masing mencatat masa 3:04:03s bersama 30 pelumba lain.

Dua belas daripada 53 pelumba yang tersenarai gagal menamatkan saingan mereka.

Terdahulu, dalam kategori wanita elit, Masziyaton Mohd Radzi menjadi pelumba terbaik Malaysia dengan menamatkan saingan dalam peloton hadapan (kelompok pertama).

Pelumba berusia 24 tahun dari Baling, Kedah itu menamatkan saingan sembilan pusingan sejauh 115.2km dengan catatan masa 3:16:49s dengan 28 pelumba yang tiba serentak di garisan penamat.

"Saya kecewa kerana tidak dapat meraih pingat untuk negara. Sasaran saya ialah untuk mendapat sekurang-kurangnya pingat gangsa. "Saya cuba membuat breakaway (pecahan) daripada kelompok utama pada pusingan terakhir tetapi tidak berupaya kerana pada masa itu pelumba-pelumba China telah mula menghimpit. Kira-kira 300m sebelum garisan penamat saya sudah tidak berupaya untuk melakukan kayuhan," katanya.

Perlumbaan itu dimenangi pelumba Taiwan, Hsiao Mei Yu, manakala pingat perak dimenangi Gu Sungeun dari Korea Selatan dan gangsa menjadi milik Jutatip Maneephan dari Thailand.

Selain Masziyaton, turut menamatkan perlumbaan dalam kelompok pendahulu ialah Suryani Mohammad dengan catatan masa yang sama, sementara adik Masziyaton, Mardiana di tempat ke-36 dan Muslihah Salim di tempat ke-38 daripada 45 pelumba yang mengambil bahagian.

Kejohanan Berbasikal Asia ke-32 dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia ke-19 akan menutup tirainya esok dengan menawarkan satu pingat emas melalui acara lebuh raya individu lelaki elit. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain