suria

Bekas Atlet Olahraha Kesal SSBJ Enggan Tanggung Kos Rawatan

ALOR SETAR: Bekas atlet pelapis negara sukan olahraga, Syazwana Marzuki, 21, kesal apabila Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) enggan menanggung kos rawatannya selepas dia cedera semasa menjalani latihan pada Mac 2009.

Beliau mendakwa dia mengalami kecederaan pada lutut kiri 'Anterior Cruciate Ligament (ACL)' ketika menjalani latihan di bawah Program Pelapis Negara sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Melaka 2010.

Sehubungan itu, katanya, lututnya perlu dibedah segera kerana pergerakan terbatas selepas mengalami kecederaan itu dan anggaran kos untuk rawatan itu mencecah lebih RM5,000 selain kos rawatan susulan.

Syazwana mendakwa SSBJ merupakan pihak bertanggungjawab menanggung kos rawatan itu, tambahan pula keluarganya tidak mampu menanggung kos berkenaan.

"Alasan mereka tak tanggung kos pembedahan kerana saya tak kembali ke sekolah itu setelah berpindah ke sekolah harian biasa di Sekolah Menengah Tunku Anum, Alor Setar pada Julai 2009.

"Tapi saya mengalami kecederaan ketika menuntut di SSBJ," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelan, Langgar dekat sini, Ahad.

Syazwana berkata, ini merupakan kali kedua dia mengalami kecederaan itu selepas kali pertama di tempat sama pada Mac 2007 ketika menjalani latihan biasa di sekolah SSBJ, namun pulih selepas melakukan pembedahan di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) dengan kos ditanggung SSBJ.

"Sukar untuk saya berdiri terlalu lama, naik tangga dan melakukan solat kerana lutut kiri terlalu sakit dan jika tidak dibedah dengan segera menyebabkan terpaksa menggunakan tongkat bagi menyokong pergerakan saya pada usia 30-an.

"Saya amat kecewa dengan SSBJ dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang gagal untuk menjaga kebajikan atlet seperti saya yang mengalami kecederaan. Sewaktu mereka mahu tawarkan saya ke SSBJ pelbagai janji ditaburkan tetapi selepas kejadian itu saya dibuang seperti sampah.

"Segala pengorbanan saya dan keluarga lakukan selama ini hanyalah sia-sia kerana harapan keluarga yang juga peminat sukan tempatan mahu melihat saya menjadi seorang atlet yang bakal mengharumkan nama negara berkecai," katanya.

Syazwana, atlet olahraga 100 meter, 4x100 meter dan 4x200 meter, meninggalkan SSBJ pada 2009 selepas kecederaan itu.

Syazwana dibantu anggota keluarga mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar hingga September 2010 sebelum kes dirujuk ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Kuala Lumpur.

Anak kedua daripada tiga beradik itu pernah mewakili negara pada Sukan Little Athletics 2006 di Singapura dan meraih emas dalam acara 4x100 meter, perak bagi 100 meter dan gangsa bagi acara 4x400 meter dan gangsa bagi acara 4x400 meter pada Sukma Kedah 2006.

Sementara itu Pengarah MSN negeri, Syed Khairul Anuar Syed Abidin gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai kes terbabit. - BERNAMA

Artikel Lain