suria

Arivalagan Tak Berhasrat Jadi Jurulatih Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih skuad karate kebangsaan negara, P. Arivalagan menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menerima tawaran bekerja di luar negara.

Katanya beliau tidak akan meninggalkan anak-anak didiknya sekalipun kontrak beliau sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkemungkinan tidak akan dilanjutkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) selepas ini.

Sebaliknya, menurut Arivalagan, beliau tetap komited untuk terus membantu atlet-atlet muda negara untuk merealisasikan impian mereka menjadi seorang jaguh yang disegani dunia.

Katanya, sebarang tindakan terburu-buru untuk meninggalkan atlet-atlet muda negara pada masa yang kritikal ini hanya akan memberikan impak yang cukup besar kepada mereka.

"Kepada atlet-atlet muda karate negara, saya akan sentiasa bersama dengan anda dalam perjalanan ini. Saya akan sentiasa berada di sisi anda," katanya demikian ketika ditemuramah dalam program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24, Khamis.

"Hidup seharian saya tanpa karate adalah sesuatu yang sukar. Karate merupakan minat saya. Walau apa situasi sekalipun, saya akan tetap terlibat dalam karate," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Arivalagan turut menegaskan pengurusan sukan karate harus diuruskan sendiri oleh mereka yang benar-benar faham mengenai sukan berkenaan.

Langkah tersebut, ujar Arivalagan, akan mengelakkan pihak atau individu berkepentingan daripada terus mengambil kesempatan terhadap sukan tersebut sekaligus memberi impak buruk kepada moral dan prestasi atlet-atlet.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan kontraknya sebagai ketua jurulatih kebangsaan akan disambung semula, Arivalagan, bagaimanapun, memberitahu setakat ini tidak ada perbincangan lanjut yang dibuat mengenai kontrak beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain