suria

Azizulhasni, Josiah Perkuat Skuad Negara Pada ACC 2012

KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia berikrar untuk menghantar pasukan terkuat termasuk menyelitkan dua jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Josiah Ng bagi mendominasi sepenuhnya Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012) bermula 7 hingga 18 Februari ini.

Dua pelumba tersebut yang telah pun mengesahkan laluan getir ke Sukan Olimpik 2012 di London dijangka menyertai acara keirin dan 200 meter pecut individu sekali gus sasaran dua pingat emas menerusi dua acara bakal dicabar pesaing besar dari Jepun, Korea Selatan dan China.

Sekalipun senarai nama awal belum diketahui sepenuhnya, namun nama pelumba seperti Zhang Miao, Zhang Lei, Kazunari Watanabe dan Dong Jin Kang sudah pasti menjadi sandaran China, Jepun dan Korea Selatan bagi memecahkan dominasi Malaysia di tanah air sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ACC 2012, Abu Samah Abd Wahab menegaskan beliau telah pun berbincang dengan ketua jurulatih negara, John Beasley dan penasihat program kejurulatihan, Graham Seers di Kuala Lumpur pada Khamis bagi menentukan hala tuju pasukan trek dan lebuh raya Malaysia pada ACC 2012 nanti.

“John (Beasley) sudah pun memberitahu bahawa tonggak Malaysia akan menyertai kejohanan ini termasuk Azizul dan Josiah. Ini sesuai dengan aspirasi kita selaku tuan rumah ACC 2012. Jadi lebih baik kita mengutip seberapa banyak mata kelayakan Sukan Olimpik yang ditawarkan menerusi kejohanan ini.

“Begitu juga dengan acara lebuh raya. John berjanji akan pilih nama pelumba yang bukan sahaja difikirkan sesuai dengan laluan di Putrajaya, tetapi boleh jadi juara di tempat sendiri.

“Jadi terpulanglah kepada John untuk buat pilihan selepas menerima nasihat dan laporan daripada jurulatih tempatan, Syed Mohd Hussain Syed Mazlan. Namun apa yang saya difahamkan laluan kali ini sesuai untuk Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan lebuh raya Malaysia sudah mengesahkan laluan ke Sukan Olimpik di London Julai ini 2012 secara merit (bersama Jepun, Uzbekistan dan Kazakhstan) akan tiba di Kuala Lumpur pada Sabtu untuk memulakan latihan intensif di Putrajaya.

Malaysia melakar kejayaan cemerlang apabila merangkul 15 pingat termasuk lima emas pada ACC 2011 di Korat, Thailand berbanding sepuluh pingat pada ACC 2011 di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Artikel Lain