suria

Coleman Pengurus Baru Wales

Chris Coleman
Chris Coleman
Chris Coleman

LONDON: Wales pada Khamis melantik bekas pemain kebangsaan negara itu, Chris Coleman sebagai pengganti pengurusnya, Gary Speed yang meninggal dunia pada 27 November lalu.

Coleman, 41, melakukan 32 penampilan bersama Wales dan pernah membimbing Fulham, Real Sociedad, Coventry City dan Larissa di Greece.

Speed, 42, ditemui menggantung diri di kediamannya pada November lalu.

"Gary merupakan pengurus Wales dan sememangnya kami mahu meneruskan legasi beliau. Dia adalah seorang lagenda. Oleh itu, kami melantik Chris Coleman sebagai penggantinya," kata Ketua Eksekutif Persatuan Bola Sepak Wales (FAW), Jonathan Ford.

Coleman pernah beraksi untuk Swansea City, Crystal Palace, Blackburn Rovers dan Fulham sebelum bergelut dengan kecederaan serius di kakinya selepas terlibat dalam kemalangan kereta pada 2001.

Beliau bagaimanapun menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak, setahun kemudian.

Coleman akan mengemudi Wales buat pertama kalinya ketika bertemu Costa Rica dalam perlawanan khas sempena memperingati mendiang Speed pada 29 Februari ini.

Wales akan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Belgium di gelanggang sendiri pada 7 September ini.

Pasukan itu juga akan bertemu Croatia, Serbia, Scotland dan Macedonia dalam Kumpulan A.

Artikel Berikut

Cisse Sarung Jersi Newcastle

Artikel Lain