suria

Sime Darby FC Sasar Ke Liga Super Pada 2013

KUALA LUMPUR: Selepas terlepas peluang bersaing di Liga Super musim depan, pasukan kelab Sime Darby FC mensasarkan dua tempat teratas Liga Perdana 2012 untuk mencapai sasaran tersebut.

Pemangku presiden Sime Darby FC Datuk Seri Tengku Ahmad Shah Abdul Aziz Shah berkata hasrat tersebut dapat direalisasikan dengan penampilan 13 muka baru dalam skuad tersebut dan diperkuatkan dengan dua penyerang import dari Liberia.

"Seramai 10 pemain dari skuad musim ini turut dikekalkan untuk musim depan dan dua pemain Piala Presiden turut dinaiktaraf ke skuad utama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada saingan musim ini, Sime Darby FC yang pada awalnya sering menduduki tangga kedua teratas liga bagaimanapun akhirnya tersisih ke tangga ke-lima daripada 14 pasukan yang bersaing dalam Liga Perdana.

Tengku Ahmad Shah berkata pasukan tersebut mengekalkan jurulatihnya Ismail Zakaria dan dibantu Abdul Ghani Malik dan Shaharuddin Ahmad Mokshinon.

Beliau berkata purata umur pemain skuad tersebut berusia 25 tahun dan ke bawah termasuk dua pemain import, Patrick Ronaldinho Wleh dan Sengbah Kennedy, yang masing-masing berusia 21 dan 24 tahun.

Kelab tersebut katanya sebelum ini mengadakan beberapa perlawanan persahabatan termasuk menentang pasukan Liga Super seperti Negeri Sembilan, Terengganu dan Selangor.

Sime Darby FC akan memulakan kempen Liga Perdana musim 2012 dengan menentang Harimau Muda B di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 9 Jan dan berdepan Sabah pada perlawanan pertama Piala FA di stadium yang sama pada 19 Februari.

Barisan pemain Sime Darby FC: (Penjaga gol) Mohd Redzuan Harun, Muhammad Hafiz Samsuddin, Mohd Soffuan Tawil (pertahanan) Mohd Fairuz Abdul Aziz, Muhd Nuraliff Zainal Abidin, Es Lizuan Zahid Amir, Kamarul Afiq Kamaruddin, Mohd Hairul Nizam haniff, Mohd Shazlan Alias, Mohd Arif Ismaail, (barisan tengah) Mohd Badrul Hisyam Morris, Mohd Nor Ismail, Rosli Muda, Muhd Fadly Baharum, Mohd Asyraf Mohd Al-Japri, Mohd Shoufiq Mohamad Kusaini, Mohd Asrol Ibrahim, Azmirul Azmi, Mohammad Syukur Saidnin, Sengbah Kennedy, Mohd Faiz Mohd Isa, (penyerang) Patrick Ronaldinho Wleh, Mohd Irme mat, Muhammad Zamri Hassan dan Razali Umar Kandasamy. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain