suria

T-Team Pasang Impian Ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU: Pasukan T-Team akan mencatat sejarah tersendiri jika berjaya mengalahkan Negeri Sembilan dalam pertandingan separuh akhir Piala Malaysia Selasa ini sekaligus merealisasikan impian untuk melangkah ke peringkat akhir.

Jurulatihnya Yunus Alif berkata kejayaan T-Team membenam Sabah 2-1 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi membanggakan pasukan dan para penyokong.

"Kita telah merangkak sebelum sampai ketahap ini dan kita harap pemain-pemain jangan hilang fokus dalam perlawanan separuh akhir nanti," katanya kepada Bernama, Sabtu.

Yunus berkata T-Team telah melakar beberapa kejutan seperti mengalahkan Selangor di peringkat awal dan momentum itu perlu dikekalkan bagi memastikan prestasi pasukan itu terus berada di puncak.

Beliau berkata apa yang perlu dilakukan pasukan itu sekarang ialah untuk memantapkan ketahanan mental pemain-pemain dan corak permainan memandangkan perlawanan sudah hampir ke kemuncak.

Yunus berkata perlawanan separuh akhir ini, T-Team perlu bermain habis-habisan kerana inilah peluang terbaik T-Team untuk merangkul piala berprestij itu.

"Lepas ini kita belum tahu bila T-Team akan beroleh kejayaan seumpama ini," katanya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Negeri Sembilan nanti, beliau berkata perlawanan itu dijangka seimbang kerana kedua-dua pasukan mempunyai barisan pemain yang berpengalaman.

Bagaimanapun beliau berkata peluang T-Team untuk memenangi perlawanan itu agak cerah kerana mereka bermain di hadapan penyokong sendiri.

Katanya T-Team yang akan menurunkan barisan terbaik dan mentap akan mencari sebarapa banyak gol dalam perlawanan pertama sebagai bekalan untuk mengharungi perlawanan kedua di gelanggang lawan di Paroi, Negeri Sembilan pada 22 Okt nanti.

Yunus juga berharap peminat dan penyokong T-Team akan datang beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan itu di Stadium Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Selasa ini.

Harga tiket perlawanan itu kekal RM10 untuk tempat terbuka dan RM20 untuk tempat berbumbung. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Malaysia Tewaskan Nepal 2-0

Artikel Berikut

Artikel Lain