suria

Emas Kedua Malaysia Pada Hari Terakhir Boling Dunia IBSA

PETALING JAYA: Pasukan boling paralimpik Malaysia berjaya mencapai sasaran dua pingat emas pada Kejohanan Tenpin Boling Dunia Persekutuan Sukan Cacat Penglihatan Antarabangsa (IBSA) di sini apabila menjuarai acara empat sepasukan, Jumaat.

Malaysia meraih emas kedua pada kejohanan yang berlangsung di Sunway Mega Lanes di sini melalui gandingan Azri Pinang, Muhammad Suhaili Abdul Hamid, Choo Kam Chan dan Jason Soo yang mencatat 2,769 jatuhan pin.

Malaysia meraih pingat emas pertama pada hari pembukaan kejohanan Selasa lepas.

Pasukan Korea Selatan terdiri Pak Sun Ae, Kim Jae Cheol, Lee Chang Suk dan Jeong Yeong Dae, memenangi pingat perak setelah ketinggalan 120 jatuhan pin di belakang Malaysia manakala pingat gangsa menjadi milik Kanju Mori, Kozo Kimura, Kazumori Higa dan Masatoshi Kiyosugi dari Jepun dengan 2,566 jatuhan pin.

Acara empat sepasukan menggabungkan dua pemain kategori TPB2 dan masing-masing seorang pemain kategori TPB1 dan TPB3.

"Saya gembira kerana ini kali pertama Malaysia menang pingat emas acara berpasukan," kata Choo, 36, yang mula mewakili negara dalam sukan boling cacat penglihatan sejak 1999.

Bagi Azri Pinang (TPB1), meskipun mengakui agak gugup ketika bertanding, beliau begitu gembira dengan kejayaan meraih pingat emas dalam penyertaan pertamanya dalam kejohanan dunia itu.

Malaysia turut meraih pingat gangsa menerusi Jason Soo dalam acara all-event TPB3 lelaki.

Secara keseluruhan skuad boling paralimpik negara berjaya mengumpul dua pingat emas dan empat gangsa.

Pasukan Korea Selatan terus unggul dengan menambah dua pingat emas pada hari terakhir kejohanan melalui Tac Nog Yun dalam acara all-event TPB1 lelaki dan Kim Jae Cheol dalam acara all-event TPB2 lelaki.

Korea Selatan membawa pulang enam pingat emas, lapan perak dan empat gangsa, manakala Finland dan Australia masing-masing mengumpul 3-1-2 dan 2-2-1.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain