suria

T-Team Tidak Anggap Mudah Cabaran Sabah

KUALA TERENGGANU: T-Team tidak menganggap mudah pertemuan pusingan kedua peringkat suku akhir Piala Malaysia menentang Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, Jumaat ini.

Jurulatihnya Yunus Alif berkata kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah dalam perlawanan pusingan pertama Isnin lalu tidak boleh dijadikan ukuran dan sandaran.

"Kita ada masa 90 minit lagi dan semua boleh terjadi, tambahan pula Sabah sekarang berada di tahap terbaik dan boleh mengancam T-Team," katanya.

Yunus berkata T-Team tidak mempunyai strategi tertentu untuk menghadapi Sabah kecuali meningkatkan lagi kerjasama dan bermain sebagai sebuah pasukan.

Strategi itu telah dilaksanakan di Sabah dan ia membuahkan hasil yang memberangsangkan, katanya.

Beliau berkata T-Team tidak mahu membesar diri dan akan turun sebagai pasukan bukan pilihan walaupun peluang untuk menang agak cerah kerana bermain di hadapan penyokong sendiri.

Yunus berkata yang lebih penting lagi T-Team ingin merealisasikan impian penyokong mereka untuk melihat pasukan itu terus berjaya dan seterusnya menjulang piala yang berprestij itu musim ini.

Beliau berkata bekas pemain kebangsaan Tengku Hasbullah Tengku Hassan yang mengalami kecederaan di pangkal peha semasa pertemuan pertama di Sabah mungkin akan direhatkan dalam perlawanan Jumaat ini.

Begitupun, Yunus berkata beliau tidak bimbang kerana T-Team mempunyai ramai pemain yang boleh mengambil tempat Tengku Hasbullah.

Sementara itu, Setiausaha Kerja T-Team, Zaini Abu Bakar berkata pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan tidak akan menaikan harga tiket untuk perlawanan tersebut.

Beliau berkata ia bertujuan untuk meramaikan peminat dan penyokong T-Team menyaksikan perlawanan itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain