suria

Hafizh Singkir Perasaan Gementar Ke Saingan MotoGP

KUALA LUMPUR: Hanya tinggal dua minggu sahaja lagi bagi pelumba muda "wildcard" negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mempersiapkan diri untuk menghadapi perlumbaan kategori Moto2 di Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) di Litar Sepang pada 21 hingga 23 Oktober.

Memandangkan hari perlumpaan semakin dekat, pelumba berusia 17 tahun itu terus berusaha gigih dan mengetepikan perasaan gementar berdepan saingan dalam MotoGP menyelubungi dirinya dalam penampilan sulungnya itu. "Sudah semestinya perasaan gementar itu ada, tetapi saya tak mahu ia mengganggu tumpuan saya menghadapi saingan pertama dalam MotoGP.

"Pengalaman ini sangat berharga buat saya untuk meningkatkan pengalaman dan saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan kepada saya," katanya kepada Bernama, pada Khamis.

Semalam, pasukan Petronas Two Wheel Motor Racing mengumumkan pemilihan beliau dan seorang lagi pelumba yang pernah muncul pada MotoGP 2010, Mohd Zamri Baba, untuk mengisi slot wildcard kelas Moto2 di Grand Prix Malaysia.

Hafizh Syahrin dan Mohd Zamri akan menyertai Zulfahmi Khairuddin, yang beraksi secara penuh dalam kategori Moto 125cc musim ini, bagi membawa cabaran negara pada perlumbaan di Litar Sepang selain seorang lagi pelumba wildcard Moto 125cc Muhammad Farid Badrul Hisham, 18, melalui Pasukan AirAsia-Sepang International Circuit Racing.

"Sasaran saya adalah untuk menamatkan perlumbaan dan saya mahu realistik dengan peluang yang diberikan kepada saya," kata Hafizh Syahrin yang percaya tidak mempunyai masalah dalam perlumbaan MotoGP kerana pengalaman beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) sedikit sebanyak membantunya.

Beliau menduduki tangga ketiga pada acara Supersports 600cc ARRC di peringkat pusingan keempat di Jepun bulan lepas.

"Walaupun perlumbaan adalah sama, tetapi jentera yang digunakan dalam saingan Moto2 ini terdapat sedikit kelainan kerana ia lebih ringan 30kg dan ia selesa ditunggang berbanding jentera Supersports," katanya.

Hafizh Syahrin akan menggunakan jentera Moriwaki MD2010 dari Jepun, yang pernah digunakan Mohd Zamri ketika perlumbaan tahun lepas di Litar Sepang. Mohd Zamri pula akan menggunakan jentera MD2011 hasil kerjasama antara Petronas TWMR dan Moriwaki yang merupakan pembekal casis Jepun.

Litar Sepang akan menjadi hos kedua terakhir daripada keseluruhan 17 perlumbaan MotoGP 2011 sebelum menutup tirai di Litar Valencia, Sepanyol pada 4 hingga 6 November. -BERNAMA

Artikel Lain