suria

Sukan Sea: Harapan Pingat Emas Catur Pada Mas Hafizulhelmi

KUALA LUMPUR: Skuad catur negara meletakkan harapan mengutip pingat emas pada Sukan SEA ke-26 Indonesia November nanti kepada pemain catur nombor satu Malaysia, Mas Hafizulhelmi Agus Abdul Rahman memandangkan beliau adalah salah seorang pemain bertaraf International Masters.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Catur Malaysia (PCM) Gregory Lau berkata Mas Hafizulhelmi juga merupakan pemain senior yang sangat berpengalaman.

Sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA, Mas Hafizulhelmi kini berada di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) sejak awal bulan ini bagi menjalani latihan khas bersama pemain handalan di sana selama sebulan, katanya kepada Bernama.

"Pemergian Mas Hafizulhelmi atas perbelanjaan sendiri dan jika kita berjaya mendapatkan dana penajaan, berkemungkinan tempoh latihan dia akan dilanjutkan," katanya.

Gregory berkata sebagai persediaan menghadapi jaguh-jaguh dari Vietnam dan Filipina pada Sukan SEA, atlet negara akan menyertai beberapa siri kejohanan seperti Kejohanan Terbuka Malaysia di Midvalley, Kuala Lumpur dari 5 hingga 25 Ogos dan Terbuka Kuala Lumpur pada bulan September.

Kali terakhir skuad catur menyumbang pingat kepada kontinjen negara ialah pada Sukan SEA 2003 di Vietnam dengan meraih tiga pingat gangsa. - BERNAMA

Artikel Lain