suria

Katrina Yakin Dua Emas Dalam Tangan Di Sukan Sea

KUALA LUMPUR: Atlet renang berirama negara Katrina Ann Abdul Hadi yakin skuad kebangsaan mampu meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas pada Sukan Sea di Indonesia November ini.

Beliau berkata keyakinan itu timbul setelah melihat aksi pasukan-pasukan lain dari Asia Tenggara semasa bertanding pada Kejohanan Renang Dunia di China, Julai lalu.

"Jika dibandingkan persembahan pasukan negara dengan pasukan-pasukan lain (dari Asia Tenggara) pada kejohanan itu, boleh dikatakan emas sudah ada dalam tangan," katanya.

Bagaimanapun, gadis dari Rembau, Negeri Sembilan itu, tidak secara total mengenepikan cabaran pihak lawan khususnya dari Thailand, Singapura dan tuan rumah Indonesia.

"Apa yang penting kami berlatih bersungguh-sungguh supaya dapat melakukan 'rutin sempurna'," katanya yang akan bergandingan dengan atlet senior Shareen Png dalam kategori duet.

Selain itu, Katrina Ann berharap sukan renang berirama akan terus dipertandingkan pada temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu.

"Melalui kejohanan besar seperti inilah pasukan negara dapat menonjolkan diri dan memberitahu dunia bahawa Malaysia juga mempunyai atlet yang berbakat," katanya.

Katanya jika renang berirama diketepikan daripada Sukan Sea, tidak mustahil lama-kelamaan sukan tersebut akan terkubur begitu saja di rantau ini.

Kali terakhir renang berirama dipertandingkan di Sukan Sea adalah 10 tahun lepas di Kuala Lumpur.

Malaysia menyapu bersih dua emas yang ditawarkan pada temasya ketika itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Keputusan Liga Sepanyol

Artikel Lain