suria

23 Stesen TV Termasuk Tiga Dari Malaysia Buat Liputan Sukan SEA 2011

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 23 stesen televisyen dari 10 negara anggota Asean termasuk tiga dari Malaysia, mengesahkan hasrat mereka untuk membuat liputan Sukan SEA 2011 akan datang yang berlangsung di Jakarta dan Palembang pada November ini.

Pengarah Penyiaran Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Indonesia (Inasoc) Linda Wahyudi dipetik oleh Jakarta Post sebagai berkata setiap kontinjen akan diiringi sekurang-kurangnya sebuah saluran TV, dengan Thailand menghantar jumlah paling banyak.

"Thailand akan membawa tujuh saluran iaitu Channels 3, 5, 7, 9, 13, National Broadcasting Thai dan Thai Cable," kata Linda.

Beliau berkata Vietnam akan membawa lima saluran; Filipina, Malaysia dan Singapura masing-masing tiga saluran; manakala Brunei serta peserta jemputan Timor Leste masing-masing satu.

Linda berkata tuan rumah Indonesia akan menyiarkan 12 acara sukan secara langsung setiap hari, termasuk bola sepak, badminton, bola tampar, bola keranjang dan tinju.

"Ini sesuatu yang biasa dilakukan oleh tuan rumah. Pusat media utama akan tertumpu di Palembang iaitu di Pusat Penyiaran Antarabangsa di tingkat 14 bangunan Bank Sumsel Babel," kata Linda.

Sementara itu, Chef-de-Mission negara-negara peserta berada di Jakarta, Jumaat untuk melawat venue pertandingan dan perkampungan atlet di dua bandar raya tuan rumah, Jakarta dan Palembang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain