suria

UCI Tetapkan Hanya Satu Pasukan Kebangsaan Dalam LTDL 2012

PUTRAJAYA: Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) memutuskan Malaysia, sebagai tuan rumah Le Tour de Langkawi (LTdL), hanya boleh menghantar satu pasukan kebangsaan untuk menyertai perlumbaan itu dari 24 Februari hingga 4 Mac tahun depan.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2012 Emir Abdul Jalal berkata tindakan itu bagi mengelak kerjasama antara pelumba-pelumba Malaysia.

Beliau berkata memang terdapat perancangan untuk Malaysia menghantar dua pasukan kebangsaan pada temasya itu, namun terpaksa akur dengan syarat yang ditetapkan UCI.

"Walaupun begitu, kita tidak perlu bimbang dengan jumlah penyertaan pelumba tempatan kerana selain pasukan kebangsaan terdapat juga pelumba Malaysia yang akan mewakili pasukan dari luar negara," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Perlumbaan di sini Jumaat.

Sebanyak 13 pasukan termasuk dari Malaysia telah mengesahkan penyertaan pada LTdL 2012.

Malaysia akan diwakili satu pasukan kebangsaan. Dua pasukan yang turut mempunyai pelumba negara ialah Pro-Asia Cycling Team (TSG) dan Le Tua Cycling Team.

Pasukan lain ialah Garmin-Cervelo, Astana dari Kazakhstan, Taiwan National Team, Drapac Professional Cycling (Australia), MTN Quebeca (Afrika Selatan), Max Success Sport (China), PureBlack Racing (New Zealand), Aisan Racing Team (Jepun), Garmin Development (Amerika Syarikat) dan Unitedhealthcare Pro Cycling (Amerika Syarikat).

Perlumbaan LTdL edisi ke-17 akan melibatkan jarak keseluruhan melebihi 1,400 kilometer dengan 10 peringkat perlumbaan.

Sepuluh peringkat perlumbaan termasuk Ujian Masa Individu (ITT) Putrajaya (20.3km), Putrajaya-Melaka (151 km), Melaka-Parit Sulong (187.6 km), Batu Pahat- Muar (169.4 km), Ayer Keroh-Pandan Indah (187.2 km), Proton Shah Alam-Genting Highlands (108 km), Bentong-Kuantan (215.8 km), Pekan-Cukai (100.8 km), Kemasik-Kuala Terengganu (169.4 km) dan Kuala Terengganu-Kuala Terengganu Loop (110.7km). - BERNAMA

Artikel Lain